December 11, 2023

Era Suria Bergabung Meletop – Cipta Sejarah MBOR

PETALING JAYA : Stesen radio Suria FM dan ERA berjaya meraih pengiktirafan ‘The Malaysia Book of Records’ (MBR) sebagai ‘Kolaborasi Rangkaian Radio Silang Pertama untuk Menyiarkan Siaran yang Sama Secara Serentak’ menerusi penjenamaan ERA Suria, Disini Segalanya Terkini diinspirasikan oleh CelcomDigi. 

Sejarah tercipta menerusi gabungan segmen pagi ‘Morning Morning Suria’ dan ‘3 Pagi ERA’ kelolaan Ajak, Shuib, Suraya, Nabil, Azad dan Radin yang bersiaran secara langsung pada 23 Oktober 2023 (Isnin) dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi dengan membincangkan topik ‘Dulu Kawan, Sekarang Lawan & Dulu Lawan, Sekarang Kawan’

Majlis penyampaian sijil rasmi ‘The Malaysia Book of Records’ itu telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Pemasaran MBR, Jeska Seah, Perunding Rekod Kanan MBR, Siti Hajar Binti Johor kepada Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) dan Hani Fadzil, Pengurus Kandungan ERA dengan bersaksikan lebih 170,000 penonton sekaligus berjaya meraih sebanyak 4.3 juta ‘likes’ di siaran langsung ‘Tiktok’ Suria Malaysia dan ERA.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), Suria FM, sangat bersyukur dan gembira di atas pengiktirafan yang menjadi sejarah dalam industri radio Malaysia kerana ini merupakan satu konsep dan landskap baru dalam industri radio tanah air.

“Diharapkan melalui jalinan kerjasama bersama ERA, mampu menghasilkan satu perpaduan yang lebih utuh dan semoga lebih banyak kolaborasi di masa mendatang.

“Suria FM akan terus memberi sokongan kepada segala inisiatif baik yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat khususnya buat para pencinta radio. Sekali lagi, kami amat berbesar hati dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ERA atas jalinan kerjasama baik ini,” katanya.

Hani Fadzil, Pengurus Kandungan ERA, berkata, ucapan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka dan berharap kolaborasi ERA dan Suria FM ini dan terus menjadi perintis dalam mengubah landskap audio tempatan.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Malaysia Book of Records atas pengiktirafan yang diberikan dan diharap semua rakyat Malaysia dapat menikmati pilihan radio yang pelbagai dan relevan daripada kami,” katanya.

Isnin lalu tiga penyampai Era iaitu Pak Azad, Nabil dan Raden ke udara bersama Shuib, Ajak dan Suraya di konti Suria FM bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi dan memainkan lagu duet sebagai simbolik gabungan itu. 

Siaran berkenaan juga dibuat secara serentak di kedua-dua stesen radio berkenaan. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts