February 9, 2025

Fyna Pilih Senyap, Ayda Mohon Maaf

SHAH ALAM: Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat memberitahu adiknya, Fyna memilih untuk tidak membuat sebarang ulas berhubung kes serangan yang dilakukan oleh seorang wanita terhadapnya.

Ayda berkata demikian berhubung insiden pertelingkahan yang berlaku melibatkan adiknya, Fyna Jebat pada awal pagi Isnin.

“Saya mohon maaf, adik saya Fyna enggan beri sebarang ulasan kerana banyak hati yang harus jaga dan atas nasihat polis, biar pihak bertanggungjawab menjalankan tugas,” katanya.

Penyanyi lagu Pinjamkan Hatiku itu turut mengucapjan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan memohon agar orang ramai memahami situasi yang sedang dialami Fyna.

“Saya berterima kasih kepada semua yang prihatin. Saya mohon semua orang faham situasi yang sedang berlaku serta menghormati Fyna dan semua pihak,” katanya.

Ayda juga memohon doa agar perjalanan mereka di program Famili Duo dipermudahkan menjelang pusingan separuh akhir Ahad ini.

“Buat masa sekarang, fokus kami hanya dalam program Famili Duo. Saya mohon doa peminat agar semua urusan dipermudahkan,” katanya.

Dalam kejadian di sebuah restoran di Shah Alam, Fyna didakwa terlibat dalam pertelingkahan bersama madunya iaitu isteri pertama Datuk Zainal Abidin Hassan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan berlakunya kejadian itu dan memaklumkan kedua-dua pihak sudah tampil membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (gaduh gempar) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (AKK) (Kelakuan tidak senonoh tempat awam). – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts