November 4, 2024

Ramlah Ram Jaga Suara Demi Rezeki

KUALA LUMPUR: Kemantapan vokal penyanyi wanita ini memang tidak dapat dinafikan. Malah akui, Ramlah Ram dia masih mampu mengekalkan nada sama pada semua lagu nyanyiannya setiap kali membuat persembahan.

Bagi pelantun lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu, dirinya sangat bersyukur dengan anugerah yang diberikan oleh Maha Esa itu dan menjadi tanggungjawab bagi dirinya agar sentiasa menjaga suara kerana menjadi punca rezekinya.

“Saya bersyukur kerana masih diberikan kesihatan dan masih boleh menyanyi. Pada saya kita sebagai penyanyi kena selalu jaga suara kerana ia sumber rezeki kita. Jadi kena buat apa saja yang sebaik mungkin untuk memastikan suara berada dalam keadaan baik.

“Macam saya memang tidak minum ais batu serta bila hampir dengan hari persembahan saya akan berjaga-jaga dengan makanan yang berminyak. Itu saya dan orang lain ada cara masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Lahir ke-73 komposer terkenal S. Atan.

Bercerita lanjut, Ramlah berkata tidak adil bagi melihat persembahan seseorang artis itu serta membuat kesimpulan dengan mudah tanpa usul periksa.

Mengulas mengenai insiden yang tular iaitu nyanyian Ning Baizura di sebuah persembahan yang mendapat kritikan netizen, Ramlah berkata hal berkenaan pasti bukan disengajakan.

“Kita tidak boleh dan tidak adil untuk tengok satu persembahan dan nilai. Sedangkan sebelum ini persembahan penyanyi berkenaan baik. Takkan kerana satu insiden lupakan persembahan yang lain.

“Saya percaya pasti ada sebab yang munasabah. Macam saya katakan tadi, jangan cepat menghukum,” katanya.

Mengenai keperluan mengawal emosi dan perasaan sebak ketika menyanyi, juara keseluruhan dan persembahan terbaik Anugerah Juara Lagu 1988 itu berkata ia keadaan yang biasa berlaku.

Akuinya, dia sendiri pernah beberapa kali berdepan dengan situasi sedemikian sehingga mengganggu nyanyiannya.

“Saya pernah teruduk dan tak dapat teruskan nyanyian kerana lirik yang mengudang rasa sebak. Ketika itu saya di dalam studio rakaman bersama komposer Fauzi Marzuki.

“Memang bukan perkara yang mudah namun sebagai penyanyi kita kena bijak kawal emosi. Emosi itu penting tapi jangan sampai menggangu nyanyian,” katanya. – Gayahistyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts