November 27, 2022

Pinjam Kopelem, Bukan Ah Long

KUALA LUMPUR: Demi memenuhi tawaran yang diberikan oleh pihak stesen televisyen, ada segelintir penerbit terpaksa mengambil jalan untuk meminjam daripada Ah long.

Perkara itu dikongsikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Penerbit Filem Malaysia Malaysia Berhad (Kopelem), Datuk Ayu Puteh.

Beliau berkata, tindakan itu ekoran masalah serta syarat yang kurang bersesuaian yang dikenakan oleh pihak bank bagi golongan penerbit membuat pinjaman.

“Tidak dinafikan memang ada penerbit yang terpaksa pinjam pada Ah long bila mereka perlu menyiapkan drama mengikut surat tawaran (LO) yang diberikan stesen televisyen.

“Bila LO keluar, pihak penerbit perlu siapkan mengikut masa yang ditetapkan oleh pihak stesen,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Kopelem di Finas, Hulu Klang.

Ayu berkata, dilema itu bukan lagi masalah kepada penerbit apabila pihak kementerian telah meluluskan kemudahan pinjaman pembiayaan melalui koperasi berkenaan.

Perkara itu diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar yang merasmikan Kopelem dalam satu majlis semalam.

Tambah Ayu, penerbit drama dan filem digalakkan menyertai Kopelem bagi mendapat manfaat termasuk pinjaman bagi menjayakan projek mereka.

“Sertai kami dan jangan pinjam Ahlong. Kita di Kopelem mahu membantu ahli supaya mudah mendapatkan pinjaman tanpa syarat yang mengekang seperti pihak kewangan yang lain.

“Malah dengan koperasi ini juga ahli mendapat banyak peluang termasuk dana yang ditawarkan kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayu mewakili semua jawatan kuasa Kopelem melahirkan rasa syukur apabila usaha selama lima tahun bagi menubuhkan Kopelem akhirnya menjadi kenyataan.

Katanya, pelbagai proses perlu dilakukan dalam usaha menjadikan Kopelem satu realiti dalam usaha mewujudkan rangkaian bagi memudahkan golongan penerbit di negara ini.

“Kami berharap mendapat sokongan semua pihak dan saya juga berbangga dengan kesemua jawatan kuasa yang dilantik kerana masing-masing mendukung tujuan membantu sesama ahli,” katanya.

Terdahulu Noh turut mengumumkan kementerian memberikan geran sebanyak RM20,000 bagi mengerakkan aktiviti awal koperasi berkenaan. – Gayahistyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts