December 8, 2024

Anuar, Ziana Hilang Kata-Kata

KUALA LUMPUR: Menjadi antara artis yang memiliki laskar peminat tersendiri menjadi harta paling bermakna dua penyanyi adik beradik yang berada pada kelas tersendiri ini.

Bagi Anuar Zain dan kakaknya Ziana, mereka bertuah kerana dilimpahi kasih sayang yang ampuh serta benteng kukuh barisan peminat yang sentiasa ada untuk mereka.

Hakikatnya itulah kelebihan mereka, antara yang mempunyai peguambela sukarelawa setiap kali berdepan dengan isu atau usikan dalam atmosfera industri seni.

“Syukur kepada Allah kerana kami diberikan kasih sayang yang sangat bermakna. Mereka sentiasa ada bersama kami sejak dulu lagi,” tutur Anuar penuh tertib.

Kakak kesayangan di sisi mengangguk setuju dan menambah banyak jasa peminat buat mereka sepanjang kerjaya seni.

“Mereka semua sangat memahami dan bersabar bersama kami. Mereka faham dan tidak jemu untuk menjadi penyokong kami sampai hari ini,” tambah Ziana.

Lantaran, tidak hairanlah kala kedua-duanya mengumumkan konsert mereka Anuar Zain dan Ziana Zain Live In Kalau Lumpur 2022, 50 peratus tiket habis dalam masa tiga jam.

Lebih menarik, 72 jam kemudian tiket konsert yang bakal berlangsung pada 6 Ogos di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu habis terjual.

Malah sambutan hangat terhadap konsert ini memang sudah diramal, apabila peminat penyanyi dengan identiti kening terangkat itu sudah lama tidak muncul di pentas konsert sejak dua dekad lalu.

Bagi pelantun yang masing-masing terkenal dengan lagu Keabadian Cinta dan Puncak Kasih itu, seribu kesyukuran dipanjatkan kepada Allah yang mengizinkan semua itu.

Anuar yang juga mesra dengan panggilan Pak Ngah dalam keluarga melahirkan rasa terima kasih atas sokongan ini.

“Kami tidak memikirkan langsung soal jualan tiket dan hari ini kami hadir untuk sidang media dan berkongsi mengenai konsert ini,” kata Ziana.

Bercerita mengenai konsert itu, Ziana menambah dia dan Anuar bersetuju kerana percaya ia datang pada waktu dan saat yang tepat.

“Jujurnya saya dan kakak selalu bersembang mengenai impian untuk konsert bersama tapi ia berakhir begitu saja. 

“Namun akhirnya rezeki menjadi milik kami dan Alhamdulillah mari sama-sama raikan momen terindah ini nanti,” kata Anuar.

Ziana yang tidak lekang dengan senyuman di bibir menghela nafas panjang berkata, dirinya teruja untuk beraksi demi peminat tersayang.

Bakal menyampaikan 12 lagu iaitu enam lagu solo masing-masing, Ziana dan Anuar juga bakal berpadu suara dalam empat buah lagu terpilih.

“Semua lagu yang disenaraikan pastinya yang terbaik dan terpopular mengikut permintaan ramai. Kami akui ia bukan proses mudah,” kata Ziana.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin memberikan kenangan terindah buat anda semua. Kalau ada lagu yang anda mahu jerit dan kami cuba bawakan secara accapella,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts