KUALA LUMPUR: Mahukan persembahan yang moden dengan aura kemas. Itu antara yang bakal ditampilkan Aina Abdul pada konsert keduanya yang bakal berlangsung di Istana Budaya di sini.
Bagi penyanyi yang berada dalam senarai memiliki kredibiliti vokal terbaik negara ini, dia mahu peminat yang hadir nanti rasa dekat dan mengumpul momen bersama dengannya.
“Kalau tanya saya, saya rujuk pada konsert Adele yang terbaharu. Very modern and clean vibes. Adele berdiri di pentas dan diiringi pemuziknya.
“Saya mahu semua dapat rasa dekat dengan saya sebab itu saya juga nama konsert saya A Night With Aina Abdul 2.0 Live at Istana Budaya,” katanya.
Aina menambah, dia memang berhabis untuk konsert berkenaan demi memastikan dirinya mampu memberikan kelainan dalam persembahan yang ditampilkan terutamanya dari sudut bunyi dan muzik.
Lantaran, dia akur menelan kritikan pihak tertentu berhubung tiket yang dianggap terlalu mahal bagi sebutir bintang yang masih dianggap baharu sepertinya.
“Bagi saya bukan soal lama atau baharu. Masing-masing ada cara dan kelebihan tersendiri. Saya juga mahu tampilkan yang terbaik.
“Saya juga kali pertama anjurkan sendiri tanpa penaja. Satu impian saya dan pasukan yang mahu jadikan realiti,” katanya.
Akui penyanyi yang mula mendapat perhatian menerusi lagu Sumpah ini, dia berhabis hampir satu juta ringgit bagi merealisasikan impian pada konsert itu nanti.
Syukur juga dipanjatkan, apabila tiket yang mula dijual sebulan lalu sudah 85 peratus di beli dan Aina positif ia akan habis menjelang tarikh konsert pada 25 dan 26 Jun ini.
Merealisasikan konsert sendiri bersama Aina Abdul Entertainment (AAE), penyanyi ini berazam untuk memberikan yang terbaik demi semua peminat yang menyokong.
“Semua aspek saya ambil kira. Jika mereka mengenali seorang Aina Abdul, mereka pasti tahu saya sangat cerewet dan sentiasa mahu memberikan yang terbaik. Mengenai harga tiket, saya faham dengan kekangan yang ada dan bersyukur kerana peminat memahami.
“Saya tak mahu sekadar melepas batuk di tangga, jadi persiapan yang dilakukan haruslah rapi, lebih-lebih lagi ini merupakan persembahan solo pertama saya di Istana Budaya,” katanya.
Lebih menarik, Aina bakal mengenakan 10 persalinan berbeza daripada 10 orang pereka pada kedua-dua malam konsertnya itu nanti.
Persembahan Aina juga bakal diiringi Kira-kira 30 pemuzik termasuk penyanyi iringan dan di bawah seliaan pengarah muzik Mac Chew. – GayahIsTyping
You may also like
-
SFMM39: 30 Lagu Bersaing – Saingan Power Vocal & Penyanyi Baru
-
Gie Cipta Sejarah – Juara Wanita Pertama Kilauan Emas
-
Jamal Abdillah Imbau Memori Cinta Zack Azura – Konsert Istimewa Februari 2025
-
Aliff Syukri Tolak Tawaran Konsert – Fokus Perniagaan Beg Kulit Setanding Jenama Mewah Antarabangsa
-
Ernie Teruja Persembahkan Dirinya Di Aura: Ernie Zakri Live in Concert – Sufi Rashid Akui Ernie Pilihan Utama