KUALA LUMPUR: Pemilihan dua nama besar dalam filem Hutang 2D iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan Ropie ternyata pilihan bijak menghidupkan filem aksi komedi ini.
Tiada siapa boleh menyangkal, kekuatan lakonan dua nama ini membuatkan filem ringan yang dihasilkan lebih menarik malah menjentik emosi penonton.

Sifir ini dibaca dengan kemas oleh Penerbit Eksekutif filem ini, Arie Zaharie yang mengakui pemilihan pelakon dibuat bagi menarik setiap lapisan penonton.
“Kita memang membuat pilihan pelakon berdasarkan semua peringkat umur dalam filem ini sebagai tarikan kepada pelbagai lapisan penonton.
“Filem ini juga bukan sekadar hiburan tetapi mempunyai jalan cerita dan mesej yang di sampaikan,” katanya.
Arie menambah, filem ini diangkat dari lagu Hutang nyanyian kumpulan Floor 88 yang popular dalam kalangan pendengar.

“Idea asal filem ini datang dari Silentkaiju
Studio dan pihak kami tertarik dengan idea untuk mengangkat lagu Hutang yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.
Hutang 2D sebuah kisah mengenai hubungan anak dan bapa yang berbeza pendapat namun saling mengambil berat antara satu sama lain.
Menampilkan kumpulan Floor 88 sendiri serta Baby Shima yang pertama kali muncul dalam filem.
Berani menampilkan kesan khas, filem ini memberikan kelainan buat penonton dari cara penceritaannya.
Selain Ogy dan Ropie, Ayie vokalis Floor 88 juga menjayakan watak dengan baik dalam Hutang 2D, malah difahamkan berani membuat aksi lasak sendiri.
Kemunculan Altimet dalam filem ini juga menarik dan antara babak penting bagi melengkapkan keseluruhan cerita yang dipaparkan.
Hutang 2D diterbitkan Arie Zaharie Productions bersama Knack Knack Studios bakal terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad
berkata, Hutang 2D adalah sebuah lagi filem terbaru di platform Astro First yang memperlihatkan bakat-bakat penyanyi tanah air menonjolkan bakat lakonan mereka.
“Kami yakin kemunculan Floor 88 dalam Hutang 2D mampu menarik minat penonton dan berharap filem ini dapat menghiburkan penonton dan terus kekal berada di rumah.” katanya.
Pengarah Hutang 2D, Irwan Rauf percaya Hutang 2D sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan segenap lapisan masyarakat.
“Saya sangat berharap, filem ini dapat menghiburkan penonton tambahan dalam keadaan negara yang sedang bertungkus lumus ’melawan Covid-19 dan sekali gus ia dapat meredakan tekanan orang ramai yang terpaksa ’berkurung’ di rumah, ” katanya.
You may also like
-
M.Nasir Lakar Sejarah – Tampil Konsert Khas Hari Raya
-
Terpaling Raya Jadi Tum Tum Raya – Shiha Zikir Dan Ieda Berkurung 22 Jam Demi Muzik Video
-
Beraya Dengan Biduanita Negara – Siti Nurhaliza Pamer Koleksi Busana Peribadi Sempena Budaya Raya
-
Khai AF Pengsan Tiba-Tiba – Terima Dua Jahitan Di Dahi
-
Elemen Lawak Seram Lagu Raya – ZUS Coffee Lancar Lagu Cerita Malam Raya