Zara Zya Pilih Emas Sebagai Simpanan Masa Depan – Cindai Gold Palace Rancang Buka Cawangan di Setiap Negara Bermula 2027

SEPANG: Pelakon popular, Zara Zya, berpandangan golongan selebriti juga perlu mempunyai kesedaran mengenai pengurusan kewangan yang bijak, termasuk mempertimbangkan pemilikan emas sebagai sebahagian daripada simpanan jangka panjang.

Menurut Zara, dia melihat simpanan emas sebagai antara pilihan yang wajar dipertimbangkan, bukan sahaja oleh penggiat seni, malah masyarakat secara keseluruhannya.

Zara yang dipilih sebagai duta kempen perasmian Cindai Gold Palace berkata, penglibatannya dalam kempen itu turut memberi peluang untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membina aset dan simpanan bagi masa depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Cindai Gold Palace, Datuk Seri Zainal Omar, menyifatkan pemilihan Zara bukan semata-mata bersandarkan populariti atau pengaruhnya sebagai selebriti.

Sebaliknya, keperibadian pelakon berkenaan yang mudah memberikan kerjasama, tidak terlalu berkira mengenai soal bayaran serta kesungguhannya membantu menjayakan sesuatu usaha menjadi antara faktor utama beliau dipilih.

Menurut Zainal, sikap Zara yang memberikan komitmen sepenuh hati amat dihargai, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama yang ingin diterapkan dalam usaha memperkenalkan Cindai Gold Palace kepada masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainal turut berkongsi perancangan besar Cindai Gold Palace untuk memperluaskan rangkaian perniagaannya ke peringkat antarabangsa bermula tahun depan.

Menurutnya, syarikat itu mempunyai aspirasi untuk mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah cawangan di setiap negara yang disasarkan, sebagai sebahagian daripada strategi memperkenalkan jenama emas berkenaan ke pasaran lebih luas.

Pada peringkat domestik, Cindai Gold Palace menyasarkan pembukaan sehingga 10 cawangan baharu menjelang 2027, bermula di Johor menerusi model perniagaan francais.

“Kami ingin membina platform pemilikan emas yang mesra rakyat dengan bermula harga serendah RM50 sahaja. Selain itu, kami juga ingin memastikan seluruh lapisan masyarakat berpeluang memiliki dan menyimpan emas sebagai aset masa depan,” katanya.

FOTO: Indera/MDaily

Beliau berkata demikian bersempena majlis pelancaran dan pembukaan cawangan pertama Cindai Gold Palace di Horizon Square, Sepang, pada 31 Oktober lalu.

Majlis pembukaan Cindai Gold Palace turut mencuri perhatian apabila penganjur menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah, termasuk hadiah utama sebuah kereta mewah BMW G30 530.

Promosi pembelian emas yang dijalankan sebelum majlis berkenaan berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan, sekali gus memperlihatkan sambutan terhadap kempen yang diperkenalkan.

Dalam pada itu, beliau berharap pembukaan Cindai Gold Palace bukan sekadar menambah pilihan premis barang kemas, tetapi turut menjadi platform meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai kepentingan tabungan, pemilikan aset dan pengurusan kewangan yang lebih terancang. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *