KUALA LUMPUR: Gardenia NuMee memberi jaminan bahawa bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan produknya adalah daripada sumber yang dibenarkan serta mematuhi piawaian pemakanan dan kesihatan yang ditetapkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pengurus Kanan Pemasaran dan Pembangunan Perniagaannya, Ng Eng Hui berkata, aspek kualiti dan pematuhan terhadap standard yang ditetapkan sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan produk keluaran jenama berkenaan memenuhi keperluan pengguna.
Menurutnya, penggunaan bahan-bahan dalam penghasilan Gardenia NuMee adalah berlandaskan ketetapan serta garis panduan yang dibenarkan, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap kualiti produk.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persepsi sebahagian pengguna yang menganggap mi kuning keluaran Gardenia NuMee sebagai pilihan yang lebih sihat berbanding produk mi lain di pasaran.
Ng ditemui GIT Media pada majlis pengumuman pelakon popular, Fasha Sandha sebagai duta Gardenia NuMee bagi tahun keempat, manakala adiknya, Elisya Sandha diperkenalkan sebagai Rakan Jenama di Saloma, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Fasha, Elisya Pilihan Tepat Gardenia NuMee
Mengulas mengenai pemilihan dua beradik itu, Ng berkata, Fasha dan Elisya mempunyai kelebihan tersendiri yang dilihat cukup dekat serta bersesuaian dengan identiti produk Gardenia NuMee.
Katanya, populariti kedua-dua selebriti itu bukan satu-satunya pertimbangan, sebaliknya komitmen dan keserasian mereka dengan pendekatan jenama turut menjadi faktor penting dalam meneruskan kerjasama berkenaan.
“Mereka dikenali ramai dan memberikan komitmen yang sangat baik,” katanya.
Menurut Ng, gandingan Fasha dan Elisya diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan Gardenia NuMee dengan pengguna daripada pelbagai peringkat usia.
Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Gardenia NuMee, Ida Nadiana Buang berkata, kesinambungan kerjasama dengan Fasha mencerminkan keserasian pelakon berkenaan dengan identiti jenama, khususnya dalam mengetengahkan nilai kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.
Menurutnya, penglibatan Elisya pula memberikan dimensi baharu dalam usaha mendekati generasi muda menerusi kandungan yang lebih relevan dengan gaya hidup serta minat mereka.
Keakraban kedua-dua beradik itu turut dilihat sebagai kelebihan dalam menyampaikan mesej kebersamaan, selain merapatkan hubungan antara generasi menerusi kempen yang dirancang.

Perkukuh Jenama, Perkenal Pelbagai Cita Rasa
Dalam perkembangan sama, Gardenia NuMee terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran menerusi rangkaian produk yang menampilkan pelbagai pilihan perisa bagi memenuhi cita rasa pengguna tempatan.
Antaranya ialah rangkaian Signature Tom Yam dan Signature Laksa Kari yang menawarkan kombinasi rasa pedas, masam serta kuah berkrim dengan aroma rempah.
Selain itu, jenama berkenaan turut menawarkan lima pilihan perisa utama iaitu Ayam, Mi Goreng Asli, Kari, Laksa Kari dan Tom Yam.
Menerusi kerjasama bersama Fasha dan Elisya, Gardenia NuMee turut merancang memperkenalkan pelbagai idea resipi kreatif bagi menggalakkan pengguna mempelbagaikan penyediaan hidangan mengikut cita rasa masing-masing.
Sejak diperkenalkan pada 2022, Gardenia NuMee terus mengembangkan rangkaian produk serta pendekatan pemasarannya dengan memberi penekanan kepada kemudahan penyediaan, kepelbagaian rasa dan keperluan pengguna masa kini.
Berteraskan slogan “Hanya Ini Yang Anda Perlukan”, jenama berkenaan menyasarkan untuk terus menjadi pilihan pengguna Malaysia menerusi penawaran produk yang praktikal dan mudah disediakan. – GIT MEDIA
