‘Teruskanlah’ Bukan Sekadar Lagu, Shiha Zikir Selami Perjuangan Hidup Hazreen Amreena

SHAH ALAM: Hanya dengan persembahan selama lebih seminit dalam program realiti I Can See Your Voice Malaysia, siapa sangka detik singkat itu akhirnya membuka laluan buat Hazreen Amreena, mencuri perhatian penyanyi Shiha Zikir yang kemudian mengambilnya bernaung di bawah syarikat pengurusan artis miliknya, Shiha Zikir Empire (SZE).

Kini, kepercayaan berkenaan diterjemahkan menerusi single terbaharu Hazreen berjudul Teruskanlah, sebuah karya yang bukan sekadar mempertaruhkan keupayaan vokal, sebaliknya membawa kisah pengorbanan, ketabahan dan perjuangan seseorang dalam mendepani kehidupan.

Dilancarkan di Six In The City, Shah Alam pada 3 November lalu, lagu hasil ciptaan dan lirik sepenuhnya oleh Shiha itu cukup dekat dengan kehidupan Hazreen, 29, terutama sebagai individu yang memahami erti memikul tanggungjawab terhadap keluarga.

Menurut Hazreen, berbeza dengan lagu terdahulunya yang lebih menjurus kepada percintaan, Teruskanlah membawa mesej lebih mendalam mengenai mereka yang terpaksa menyembunyikan kepenatan dan kesedihan demi memastikan insan tersayang terus bahagia.

“Tipulah kalau tak ada rasa penat, rasa nak mengalah, tetapi tetap gagah teruskan kehidupan demi orang yang tersayang,” katanya.

Malah, Hazreen mengakui masih ada ketika dirinya berasa mahu mengalah dalam mengejar impian sebagai penyanyi. Namun, perasaan itu tidak pernah dijadikan alasan untuk berhenti berusaha.

Baginya, lagu berkenaan ditujukan bukan sahaja kepada dirinya tetapi kepada sesiapa sahaja yang sedang berjuang, khususnya anak sulung dan individu yang menjadi tempat keluarga bergantung harap.

Shiha Zikir Bukan Sekadar Mentor

Di sebalik penghasilan Teruskanlah, tersimpan satu lagi kisah menarik mengenai kesungguhan Shiha dalam membentuk kerjaya anak didiknya. Shiha tidak terus menghasilkan lagu mengikut kehendaknya sendiri. Sebaliknya, penyanyi itu terlebih dahulu mengadakan beberapa sesi perbualan bersama Hazreen bagi memahami pengalaman hidup, emosi dan mesej yang ingin disampaikan.

Antara perkongsian yang menyentuh hati Shiha ialah kebiasaan Hazreen memilih untuk menyendiri dan menangis di dalam bilik ketika berdepan tekanan atau kesedihan. Pengalaman peribadi berkenaan kemudiannya diolah menjadi sebahagian daripada penceritaan lagu, sekali gus menjadikan Teruskanlah sebuah karya yang mempunyai hubungan emosi dengan penyanyinya.

“Saya mahu lagu ini menjadi peneman kepada mereka yang penat melalui perjalanan kehidupan,” kata Shiha.

Shiha menyifatkan Hazreen sebagai penyanyi yang memiliki julat vokal luas, mudah menerima tunjuk ajar dan tidak takut mencuba sesuatu yang baharu.

Walaupun mengakui dirinya tegas ketika bekerja, Shiha percaya disiplin, kesungguhan dan kemahuan untuk terus belajar menjadi elemen penting dalam membentuk seseorang penyanyi yang mampu bertahan dalam industri.

Ketegasan Shiha bukan sesuatu yang membebankan, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus memperbaiki kelemahan diri, kata penyayi lulusan pendidikan muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu juga pernah menyertai Gimme The Mic Malaysia pada 2024 selain menjuarai pertandingan SZ Talent Discover anjuran SZE.

Shiha Juga Sedang Melalui Ujian Kehidupan

Menariknya, mesej perjuangan yang dibawa menerusi Teruskanlah turut mempunyai persamaan dengan fasa kehidupan yang sedang dilalui Shiha sendiri.

Di sebalik kesibukan menguruskan kerjaya seni dan membimbing bakat baharu, penyanyi lagu Kalam itu sedang berdepan kebimbangan mengenai kesihatan ibu tercinta, Rohana Ibrahim, 68, yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan sejak September lalu.

Bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-39, Shiha mengakui tidak mengharapkan hadiah mewah atau sesuatu yang istimewa. Sebaliknya, harapan terbesarnya hanyalah untuk melihat ibunya kembali sihat.

“Saya hanya mahu mak sihat macam biasa sahaja,” luahnya ketika ditemui media pada majlis pelancaran lagu berkenaan.

Shiha turut menyifatkan ibunya sebagai sumber kekuatan utama dalam kehidupan, terutama ketika dirinya dan adik-beradik berdepan ujian yang tidak pernah dijangka. Meskipun tidak memperincikan penyakit yang dialami ibunya, Shiha bersyukur kerana wanita berkenaan masih menunjukkan semangat positif dan ketabahan yang menjadi inspirasi kepada seluruh keluarga.

Justeru, mesej yang terkandung dalam Teruskanlah terasa cukup dekat dengan realiti kehidupan. Dalam usaha memberikan kekuatan kepada orang lain, seseorang itu adakalanya turut memerlukan kekuatan untuk dirinya sendiri. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *