Viu Malaysia Raih Lima Kemenangan AACA 2026, Emma Maembong & Farihin Arnia Antara Yang Diiktiraf

KUALA LUMPUR: Viu Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri kandungan tempatan apabila meraih lima kemenangan peringkat kebangsaan di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2026 menerusi beberapa produksi Viu Original.

Kemenangan berkenaan merangkumi kategori lakonan, pengarahan, muzik serta kandungan format pendek, sekali gus menyaksikan karya tempatan seperti Seadanya Kita, Kelas Belakang dan Cinta Ori mendapat pengiktirafan di peringkat Asia-Pasifik.
Antara pencapaian utama ialah kemenangan Emma Maembong menerusi kategori Best Actress in a Leading Role hasil lakonannya dalam Viu Original Seadanya Kita.

Drama berkenaan turut mencatat satu lagi kemenangan menerusi lagu tema “Berakhir Kita”, ciptaan Omar K dan Shazriq Azeman serta nyanyian Syamel, yang dinobatkan sebagai Best Theme Song or Title Theme.

Sementara itu, Viu Original Kelas Belakang turut membawa pulang dua kemenangan.

Nurhanisham Muhammad dinobatkan sebagai pemenang kategori Best Direction (Scripted), manakala Farihin Arnia meraih Best Actor in a Supporting Role menerusi lakonannya dalam siri berkenaan.

Melengkapkan lima kemenangan Viu Malaysia ialah Viu Micro Drama Cinta Ori yang memenangi kategori Best Micro-Drama.

Produksi yang diterbitkan bersama Creative Stew dan Mi Sedaap Malaysia itu turut menandakan perkembangan Viu Malaysia dalam meneroka penceritaan format vertikal 9:16 yang semakin mendapat perhatian penonton.

Pencapaian ini bukan sahaja memperlihatkan kepelbagaian bakat kreatif tempatan, malah memperkukuh keupayaan produksi Malaysia untuk diketengahkan ke pentas serantau.

Kesemua lima pemenang berkenaan akan mewakili Malaysia di AACA Grand Awards di Singapura pada Disember 2026, bersaing dengan pemenang peringkat kebangsaan dari seluruh Asia-Pasifik.

AACA 2026 sebelum ini mengumumkan National Winners pada 30 September, melibatkan wakil daripada 18 negara dan wilayah dalam 39 kategori. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *