KUALA LUMPUR : Selepas mendapat sambutan hangat pada musim pertama, The Masked Singer Malaysia (TMSM) kembali meraikan misteri di sebalik 14 Maskot pesertanya.
Lebih menarik, kesemua yang mengambil bahagian merangkumi selebriti pelbagai bidang lalu memberikan cabaran kepada sembilan juri untuk menekan siapakah mereka disebalik maskot masing-masing.
Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh memberitahu, sama seperti konsep musim lepas, identiti setiap maskot dirahsiakan sehinggalah peserta itu disingkirkan.
“Selebriti yang menyertai TMSM terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pelakon, penyanyi, pelawak, personaliti TV termasuk altet.
“Tahun ini kami menambah penglibatan dari semua bidang yang terdapat dalam industri Malaysia.
“Setiap peserta diberi kebebasan mengatur strategi masing-masing, asalkan mereka tidak menyerlahkan kemampuan vokal sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, pengacara TMSM Datuk AC Mizal mengakui, persaingan kali ini lebih sengit dan menguji juri untuk membuat tekaan.
Seorang daripada juri, Michael Ang mengakui, penganjuran kali ini disifatkan lebih mencabar bagi mencari gerangan pemilik suara di sebalik topeng.
“Mereka sangat taktikal minggu ini nyanyi teruk minggu depan vokal sangat baik. Memang juri pening kepala,” katanya.
Menambah dua kuota dari segi bilangan peserta menjadi 14 kesemuanya dengan maskot seperti Ratu Semut, Nanas, Bujang Senang, Teh Tarik Kaw, Burung Hantu, Harum Manis dan Mat Penyu.
Maskot lain yang turut kelihatan adalah Aiskrim Roti, Rambutan, Periuk Kera, Orkid, Si Merak, Pepatung dan Seladang.
TMSM juga mengekalkan panel juri serupa seperti edisi lalu kecuali tanpa adanya penglibatan Nabila Huda yang diambil alih penyanyi senior terkenal, Amy Mastura.
Selain Michael dan Amy, juri turut dibarisi oleh Ella, Datuk Aznil Nawawi, Remy Ishak, Raja Azura, Zizan Razak, Ramona Zam Zam dan Angah Lawaking. – GayahIsTyping