Anjur Lima Hari Acara Di IOI City Mall Putrajaya
KUALA LUMPUR: Jenama fesyen tempatan, Dr. Cardin memilih untuk keluar daripada pendekatan konvensional apabila tampil dengan kempen terbaharu, The Overlooked Malaysia by Dr. Cardin, yang mengangkat keindahan lokasi-lokasi menarik dalam negara menerusi konsep pengembaraan.
Lebih daripada sekadar kempen fesyen, The Overlooked Malaysia menggabungkan filem pendek, dokumentari perjalanan, sesi siaran langsung di lokasi terbuka serta penglibatan selebriti dan pencipta kandungan.
Percaturan berbeza itu ternyata membuahkan hasil apabila kempen tersebut menerima sambutan positif daripada orang ramai, sekali gus mencatatkan kadar engagement yang lebih tinggi berbanding kempen-kempen Dr. Cardin sebelum ini.
Menurut Ketua Penjenamaan Dr. Cardin, Chong Charl Yee, idea untuk menghasilkan kempen tersebut tercetus selepas adiknya memilih untuk bercuti di dalam negara dan terpesona dengan keindahan lokasi yang dikunjungi.
“Sebenarnya negara kita mempunyai banyak tempat menarik yang kita sendiri belum pernah lawati. Adik saya mahu bercuti tetapi dia tidak mempunyai waktu yang banyak.
“Kebiasaannya dia bercuti di luar negara, tetapi kali ini dia memilih bercuti di dalam negara. Apabila dia pulang, dia mencadangkan agar kami melakukan kempen ini kerana dia jatuh cinta dengan keindahan bumi Malaysia.

“Kami melihat idea ini sebagai sesuatu yang menarik. Dalam masa sama, kami mahu memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia bahawa negara kita kaya dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati,” katanya.
Dr. Cardin Bawa Bella Astillah, Syed Sadddiq & Mierul Aiman Jelajah Malaysia
Bagi menjayakan kempen tersebut, Dr. Cardin menjelajah empat negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.
Kempen itu bermula pada 25 Ogos 2026 menerusi tayangan filem pendek arahan Mshaffuan yang diterbitkan dalam beberapa bahagian dan kemudian diteruskan pada September menerusi sesi siaran langsung bersama Bella Astillah dan Syed Saddiq dari Kedah.
Perjalanan diteruskan ke Kelantan menerusi ekspedisi The Explorer Trip ke Dabong yang disertai sembilan pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial termasuk pelakon popular, Mierul Aiman di mana segala perjalanan dan aktiviti sepanjang mereka berada di Dabong turut dirakamkan untuk sebuah dokumentari khas.

Lima Hari DI IOI City Mall Putrajaya
Kini, pengalaman The Overlooked Malaysia bakal dibawa ke skrin menerusi acara The Overlooked Malaysia: Beyond The Screen yang berlangsung selama lima hari di IOI City Mall Putrajaya dari 7 hingga 11 Oktober 2026.
Acara tersebut bakal memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman kempen berkenaan secara fizikal selain menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi meet & greet bersama Mierul Aiman, Ain Ramli, Zakuan Zainal, Farah Hamdan, Fikri Zamri, Merantau Dunia dan Sya Azhar.
Lebih istimewa, episod terakhir filem pendek The Overlooked Malaysia turut akan ditayangkan pada acara tersebut bersama pengarahnya, Mshaffuan.
Netizen Sambut Baik
Mengulas sambutan terhadap kempen berkenaan, Charl Yee berkata pihaknya menerima maklum balas yang cukup memberangsangkan terutama daripada netizen yang menyukai pendekatan baharu dan lebih dekat dengan gaya hidup mereka.
“Kami mendapat maklum balas yang sangat positif daripada netizen. Mereka sukakan kelainan yang ditampilkan dan merasakan kempen ini lebih dekat dengan diri mereka.

“Engagement yang diterima untuk kempen kali ini juga lebih hebat berbanding kempen-kempen sebelum ini.
“Netizen juga terkejut apabila menonton sesi live kami yang dilakukan di tempat-tempat ‘rare’ seperti di atas batu besar dan di dalam air sungai,” katanya.
Melihatkan sambutan tersebut, Dr. Cardin tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan pengembaraan The Overlooked Malaysia ke lokasi lain selepas ini.
“Mungkin kami akan menjelajah bumi Borneo pula selepas ini,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen dan aktiviti Dr. Cardin, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi jenama berkenaan. – GIT MEDIA
