November 27, 2022

Kritik Dan Hina Dua Perkara Berbeza

KUALA LUMPUR : Tidak salah jika mahu mengkritik filem namun biarlah ada ilmu dalam bidang berkaitan. 

Demikian menurut pengarah dan pelakon Syamsul Yusof, 37, yang mengulas mengenai beberapa YouTuber yang menjadikan platform mereka sebagai medan mengkritik filem.

Dia turut meminta mereka yang terbabit tahu membezakan antara kritikan dan hinaan.

“Orang bercakap filem pun sudah berbeza. Apatah lagi sekarang era media sosial dan semua perkara nak komen. Bagi saya tak salah, tapi kena sesuai atau tidak.

“Nak kritik kena bijak. Kalau orang tidak suka filem saya, okay saja. Apa yang penting saya puas. Saya juga tidak boleh puaskan hati semua orang. Jadi kuatkan mental dan fokus pada karya,” katanya.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof mengagumi cara pengarahan dan hasil kerja Khabir Bhatia, Erma Fatima dan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

“Kalau nak kata siapa pengarah yang saya suka antaranya Khabir Bhatia, Erma Fatima dan Shuhaimi Baba. Nak menjadi pengarah bukan mudah. Kak Erma mengarahkan filem Embun. Begitu juga dengan filem sentuhan Shuhaimi Baba. Saya tabik mereka sebagai pengarah wanita.

“Kalau mereka boleh buat, takkan saya tak boleh. Jadi, mereka antara pengarah hebat yang saya suka dan saya sudah kaji filem mereka. Saya mengkaji banyak cabang. Saya bukan jenis yang tengok sekejap saja,” katanya.

Pengarah filem Munafik itu berkongsi perkara itu pada sesi Instagram (IG) Live menerusi topik Persediaan Menjadi Pengarah Tanpa Gagal, semalam.

Untuk rekod, Syamsul adalah pemenang Pengarah Terbaik paling muda pernah memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) iaitu pada usia 25 tahun menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Syamsul turut mengulangi kejayaan sama pada FFM 24 menerusi filem KL Gangster dan FFM 28 bagi filem Munafik.

Lebih membanggakan Syamsul juga memenangi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-57 menerusi filem Munafik.

Filem arahannya, Munafik 2 menjadi filem tempatan nombor satu apabila meraih kutipan mencecah RM48 juta.

IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts