KUALA LUMPUR: Tiga dekad setengah mencipta sejarah, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur bakal meraikan ulang tahun ke-35 dengan penuh gaya menerusi acara istimewa “35 Years, One Legendary Night” pada 9 November 2026, menghimpunkan WINGS, Kristal serta Muzza & The Velvettones dalam satu malam yang dijangka sarat dengan nostalgia rock tempatan.
Bukan sekadar konsert ulang tahun, sambutan ini turut mencipta satu lagi detik bersejarah apabila memorabilia milik ikon rock negara, Dato’ Awie, bakal diserahkan untuk diabadikan dalam koleksi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sebagai penghargaan terhadap sumbangan besarnya kepada industri muzik tanah air.
Pastinya, kehadiran WINGS menjadi antara tarikan paling dinantikan peminat apabila kumpulan legenda itu dijadualkan menghangatkan pentas dengan rangkaian lagu popular yang telah menemani beberapa generasi pencinta rock.
Tidak kurang hebatnya, Kristal yang sudah lebih dua dekad mewarnai industri muzik menerusi identiti fast-rock tersendiri turut bakal beraksi. Kumpulan itu kini dibarisi Ewal selaku vokalis, Rody (gitar), Kechiq (bass) dan Acap (dram).
Melengkapkan barisan persembahan ialah Muzza & The Velvettones, diterajui penyanyi, komposer dan gitaris Muzza yang turut dikenali menerusi lagu Bara Jiwa, runut bunyi filem Blood Brothers: Bara Naga. Acara dijadualkan bermula pada jam 9 malam.

Pengurus Besar Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Ranjit Singh menyifatkan ulang tahun ke-35 itu bukan sekadar meraikan tempoh operasi, sebaliknya menghargai legasi muzik, kenangan serta generasi peminat yang membesar bersama jenama berkenaan.
“35 tahun mewakili lebih daripada sekadar masa kerana ia adalah legasi muzik, kenangan dan generasi yang telah membesar bersama kami. Kami amat berbangga meraikan sejauh mana perjalanan ini telah membawa kami dan perjalanan yang masih akan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah Events (RPM Events), Datuk Eddy Amir Salim berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan mengendalikan acara berkenaan yang turut menjadi platform meraikan ikon serta pemuzik tempatan.
Menurutnya, penganjuran tersebut bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi penghormatan kepada perjalanan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan insan seni yang telah memainkan peranan penting dalam perkembangan industri muzik Malaysia.
Menambahkan lagi keistimewaan sambutan, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur turut memperkenalkan T-shirt edisi terhad hasil kolaborasi bersama WINGS. Hanya 500 helai dikeluarkan dengan harga RM198 sehelai dan boleh didapati di Rock Shop, sekali gus menjadikannya koleksi menarik buat peminat tegar serta pengumpul memorabilia muzik.
Bagi yang mahu menyaksikan sendiri malam penuh nostalgia ini, tiket ditawarkan pada harga RM219 seorang, termasuk satu minuman ringan. Kemasukan hanya dibenarkan kepada individu berumur 18 tahun ke atas, manakala tiket boleh diperoleh menerusi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan kelab peminat Sayap-Sayap Wings.- GIT MEDIA
