‘Dia Perempuan Sialan’ Gabung Elemen Supernatural, Thriller, Cerita Rakyat Melayu – Bongkar Rahsia Kisah Dendam Keluarga, Kini Menghantui 75 Juta Penonton Di Media Sosial

KUALA LUMPUR: Viu Malaysia tampil berani meneroka sisi lebih gelap menerusi siri seram Original pertamanya, The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) yang menggabungkan elemen supernatural, thriller, cerita rakyat Melayu serta sebuah kisah dendam keluarga yang penuh rahsia.

Drama 12 episod berkenaan mula ditayangkan secara eksklusif di Viu pada 22 September 2026, dengan episod baharu setiap Selasa dan Rabu. Episod pertamanya terlebih dahulu ditayangkan secara eksklusif pada 18 September bersempena sambutan Hari Malaysia.

Berdasarkan idea asal Eirma Fatima, siri terbitan Rumah Karya Citra ini ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim dan diarahkan Nur Ain Sharif.

Apa yang menjadikan Dia Perempuan Sialan cukup menarik bukan sekadar elemen seramnya, tetapi bagaimana sebuah dendam yang tersimpan lama perlahan-lahan membuka satu demi satu sisi hitam sebuah keluarga yang kelihatan sempurna dari luar.

Lebih mencuri perhatian, drama ini menghimpunkan barisan pelakon popular termasuk Meerqeen, Caitlin Halderman dan Hannah Delisha, selain Datin Sri Umie Aida, Nadia Aqilah, Farah Ahmad serta Amerul Affendi.

Bermula Dengan Kekejaman, Berakhir Dengan Dendam?

Segalanya bermula apabila Puan Sri Asyikin, lakonan Datin Sri Umie Aida, dikatakan melayan pembantu rumahnya, Bulan (Farah Ahmad), dengan kejam.

Namun lapan bulan kemudian, Puan Sri Asyikin meninggal dunia secara misteri sehingga keluarganya mula percaya kediaman mewah mereka sudah terkena sumpahan.

Selepas kematiannya, anak perempuan Puan Sri, Nerina (Hannah Delisha) bersama suaminya, Syawal (Meerqeen) masih menetap di rumah agam keluarga tersebut.

Kemunculan seorang pembantu rumah baharu bernama Riska (Caitlin Halderman) pada hari pengebumian Puan Sri kemudian menjadi titik permulaan kepada sesuatu yang jauh lebih mengerikan.

Di sebalik wajah manis, polos dan perwatakannya yang lembut, Riska sebenarnya menyimpan satu rahsia besar. Dia ialah anak kepada Bulan.

Kehadirannya ke rumah berkenaan bukan satu kebetulan, sebaliknya dirancang bagi membalas dendam terhadap keluarga yang dipercayainya menjadi punca penderitaan ibunya. Tetapi rancangan itu mula berubah apabila gangguan mistik berlaku tanpa henti.

Lebih menakutkan, apa yang muncul bukan lagi sesuatu yang mampu dikawal Riska, malah dia sendiri tidak bersedia dengan apa yang sedang menantinya. Trailer: https://www.instagram.com/reel/Dd5bXqyTvow/?stkn=ZGE2Z2VlcXQ2YzJw

Viu Malaysia turut membawa dunia Dia Perempuan Sialan keluar daripada kaca televisyen menerusi kolaborasi bersama Hauntu, sekali gus menjadi kerjasama pertama pengalaman seram interaktif berkenaan dengan sebuah platform penstriman.

Bermula 24 September hingga 1 November 2026, peminat berpeluang memasuki sendiri dunia drama berkenaan menerusi pengalaman khas yang menghidupkan kembali beberapa babak ikonik siri tersebut.

Bukan sekadar visual, pengalaman itu turut menggunakan kombinasi bunyi, aroma dan pencahayaan khas bersama elemen cerita rakyat Melayu dan seram tempatan bagi memberikan pengalaman yang lebih imersif kepada pengunjung.

Malah, sepanjang tempoh kempen, peminat turut berpeluang menghadiri sesi ramah mesra pada tarikh terpilih bersama barisan pelakon serta bergambar dengan bintang kegemaran mereka.

Dengan kombinasi cinta, rahsia keluarga, pengkhianatan, dendam serta gangguan supernatural, Dia Perempuan Sialan bukan sekadar mahu membuat penonton takut.

Sebaliknya persoalan yang lebih besar ialah apabila dendam sudah membuka pintu kepada sesuatu yang lebih gelap, masih mampukah pintu itu ditutup semula?

The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) kini ditayangkan secara eksklusif di Viu, dengan episod baharu setiap Selasa dan Rabu. Ayuh, sertai 75 juta penonton di media sosial yang kini mengikuti kisah seram yang mendebarkan itu sehingga ke noktah terakhir menjelang November ini. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *