KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini kehilangan seorang tokoh wanita yang cukup dekat dalam lembaran sejarah negara apabila Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada usia 100 tahun.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi Isnin, 28 September 2026.
Berita pemergian beliau disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah bukan nama asing.
Selama puluhan tahun, beliau bak bunga yang mekar dan penyeri yang sentiasa berada di sisi Tun Dr Mahathir melalui pelbagai fasa kehidupan, daripada dunia perubatan, keluarga sehinggalah perjalanan panjang suaminya dalam pentadbiran dan politik negara.

Namun Tun Dr Siti Hasmah bukan sekadar dikenang sebagai isteri kepada seorang bekas Perdana Menteri.
Beliau mempunyai identiti, kerjaya dan sumbangannya sendiri sebagai seorang doktor serta tokoh masyarakat yang cukup dihormati.
Dengan perwatakan tenang, sederhana dan bersahaja, beliau sering menjadi figura yang disenangi ramai. Dalam banyak kemunculan bersama Tun Dr Mahathir, sisi pasangan berkenaan turut memperlihatkan hubungan yang penuh humor, persahabatan dan kebersamaan selepas lebih tujuh dekad melayari kehidupan bersama.
Malah pada Ogos lalu, Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah turut menerima pengiktirafan rekod sebagai pasangan centenarian pertama yang direkodkan di rantau ini.

Hari ini, perjalanan panjang itu sampai ke penghujungnya.
Yang tinggal ialah kenangan, sumbangan dan sebuah legasi seorang wanita yang pernah menjadi doktor, isteri, ibu serta saksi kepada begitu banyak perubahan dalam sejarah Malaysia.
Pemergian Allahyarham pastinya meninggalkan kehilangan besar buat Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga.
Salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga. Al-Fatihah. – GIT MEDIA
