KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak dapat menahan sebak ketika mengumumkan barisan artis jemputan bagi Konsert Gema Bumantara, termasuk penyanyi Irama Malaysia tersohor, Noraniza Idris, yang bakal kembali bergandingan bersamanya menerusi lagu ikonik Hati Kama selepas lebih dua dekad.
Menurut Siti, konsert tradisional sulung sepanjang hampir tiga dekad perjalanan seninya itu cukup istimewa kerana menghimpunkan pejuang irama tradisional dalam sebuah persembahan berskala besar yang mungkin sukar untuk diulang pada masa akan datang.
“Saya memang cakap dengan Kak Zie (Rozie), konsert ini mesti ada Kak Ani (Noraniza Idris). Kita kena jemput Kak Ani.
“Saya gembira dan maaf saya sebak kerana saya tidak tahu bila lagi boleh buat konsert tradisional terbesar seperti ini dan saya nak mereka yang hebat ini, terutama pejuang irama tradisional, dapat bersama-sama di atas pentas ini.
“Maaf, sebab itu saya terlalu emosional,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran Konsert Gema Bumantara di Royale Chulan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Noraniza Idris mengakui berasa gementar untuk kembali bergandingan dengan Siti menerusi lagu Hati Kama, yang kali terakhir dipersembahkan secara duet kira-kira 25 tahun lalu.
Menurut penyanyi yang mesra disapa Kak Ani itu, peluang untuk kembali berkongsi pentas bersama Biduanita Negara dalam sebuah konsert berskala besar dengan iringan orkestra merupakan satu penghormatan yang amat bermakna.
“Ya Allah, Kak Ani sebenarnya seram. Seram nak menyanyi dengan Siti Nurhaliza.
“Sebab sudah 25 tahun kami tidak menyanyikan lagu Hati Kama secara duet, apatah lagi dalam sebuah konsert besar dengan format orkestra. Kak Ani sangat takut. Kak Ani rasa sangat kecil di sisi Siti Nurhaliza,” katanya penuh rendah diri.
Selain pertemuan semula dua ikon muzik tanah air itu, Konsert Gema Bumantara turut menampilkan barisan artis jemputan lain termasuk penyanyi muda Haziq Rosebi serta dua bintang Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 17 Oktober 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu dijangka menjadi antara acara terbesar yang meraikan keindahan. – GIT MEDIA
