February 25, 2024

Aeril Zafrel, Wawa Zainal Tunai Zakat RM1.15 Juta

SHAH ALAM : Pasangan suami isteri selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal membayar zakat perniagaan RM1.15 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Aeril, 35, berkata, jumlah yang dibayar itu adalah hasil perniagaan tahun ini.

“Alhamdulillah, ini kewajipan yang perlu dilaksanakan. Kami bersyukur atas nikmat dan rezeki yang tidak pernah putus daripada Allah SWT.

“Ini juga berkat sokongan tanpa henti daripada semua pihak dan pelanggan setia kami. Semoga 2024 dan tahun seterusnya akan menjadi tahun yang lebih baik lagi buat kita semua,” katanya.

Menurutnya, zakat yang dikeluarkan itu diharap dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain juga. Semoga ini dapat membantu golongan yang memerlukan. Saya percaya, LZS adalah agensi terbaik dalam menguruskan perkara ini.

“Semoga usaha ini menjadi langkah awal dan pendorong buat orang lain juga. Percayalah, tidak miskin orang yang bersedekah di jalan Allah,” katanya.

Tahun lalu, Aeril Zafrel meraih penghargaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana melunaskan bayaran zakat melebihi RM50,000.

Aeril dan Wawa memiliki beberapa perniagaan antaranya, Wawa Cosmetics dan syarikat produksi Respected Citizen Sdn Bhd. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts