KUALA LUMPUR: Pementasan naskah teater ikonik negara, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) kembali selepas lapan tahun bermula 31 Oktober hingga 15 November 2026.
Masih dengan sentuhan Penerbit Bersama merangkap Pengara, Puan Sri Tiara Jacquelina dan syarikat produksinya, Enfiniti, pementasan ini mendapat sokongan penuh sebagai pembukaan rasmi di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.
Edisi 2026 menampilkan gabungan mantap antara bintang ternama dan bakat muda berbakat besar. Watak ikonik Puteri Gunung Ledang bakal digalas secara bergilir oleh penyanyi vokal mantap Aisha Retno dan Mila Mohsin, manakala watak pahlawan Melayu Hang Tuah diserahkan kepada pelakon berpengalaman, Aqasha.
Pementasan ini turut disemarakkan dengan barisan pelakon hebat lain termasuk Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz, dan Yusof Hashim. Menurut Tiara Jacquelina, kepulangan semula produksi ini ke pentas teater mencetuskan rasa emosi yang amat mendalam buat dirinya.
“Ini adalah detik yang sangat emosional buat saya. Sudah lapan tahun sejak Enfiniti kali terakhir mementaskan teater muzikal menerusi OlaBola, dan saya hampir terlupa betapa terujanya fasa seperti ini, debaran, perbualan orang ramai, dan perasaan indah melihat penonton mula mengira hari menuju malam pembukaan.

“Membaca semua komen di Threads, Instagram dan TikTok sangat menyentuh hati. Talian telefon kami tidak berhenti berdering, malah kami sudah mula menerima pertanyaan daripada syarikat-syarikat korporat yang mahu membuat tempahan persembahan khas,” katanya.
Seluruh barisan pelakon telah menjalani latihan intensif 10 Hari Bengkel Menyelami Budaya Jawa (Javanese Cultural Immersion Workshop) bagi mendalami adat, tradisi dan latar belakang sejarah yang mengilhami penceritaan PGLM manakal latihan berskala penuh bakal bermula secara rasmi pada 17 Ogos ini, melibatkan pembaharuan dari sudut susunan muzik, koreografi, rekaan set, busana, serta kesan khas visual di pentas.
“Pasukan kreatif dan teknikal kami telah menghabiskan masa memperhalusi setiap perincian. Saya dan seluruh tenaga kerja tekad untuk mencipta sebuah pementasan yang akan dikenang oleh penonton sepanjang hayat mereka,” tambah Tiara.
Jualan tiket dimulakan khas buat pemegang Kad AFFIN pada 18 Ogos 2026 (8.00 malam) untuk tempoh eksklusif 72 jam dan dibuka kepada umum pada 21 Ogos.
Peminat dinasihatkan membuat tempahan awal bagi mengelakkan ketiadaan tiket. Maklumat lanjut serta perkembangan terkini boleh diikuti menerusi akaun rasmi media sosial @PGLTheMusical dan @EnfinitiMakesMagic. – GIT MEDIA
