KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Datuk Yusry Abdul Halim melihat platform persembahan Launchpad sebagai medium strategik untuk memperluaskan capaian muzik tempatan ke pasaran serantau.
Beliau berkata, walaupun menjadi antara artis paling berpengalaman dalam barisan persembahan Launchpad, usaha ini dilihat sebagai peluang untuk merapatkan jurang antara generasi lama dan baharu.
“Apa yang menarik mengenai Launchpad ialah dua lagi kumpulan yang terbabit, KIIRAS dari Korea Selatan dan UPRIZE dari Vietnam, adalah bakat yang sedang membina nama,” katanya.
Menurut Yusry, 53, sudah tiba masanya muzik Asia Tenggara dilihat sebagai sebuah pasaran besar tanpa dibatasi faktor bahasa mahupun budaya.
“Korea sudah membuktikan muzik bersifat universal. Anak-anak saya sendiri yang tidak memahami bahasa Korea mendengar lagu-lagu dari negara itu.
“Generasi sekarang menerima muzik sebagai sesuatu yang universal. Kita tidak semestinya perlu memahami setiap perkataan kerana jika memahami muzik itu sendiri, bahasa bukan lagi penghalang,” katanya.
Mengulas pemilihannya bersama KIIRAS dan UPRIZE, Yusry melihat kolaborasi bersama artis muda sebagai peluang memperkenalkan muziknya kepada kelompok pendengar baharu.
Launchpad ialah platform pembangunan artis yang direka untuk mempercepatkan perkembangan bakat baharu di peringkat serantau dengan menghubungkan mereka secara langsung kepada penonton, media, jenama dan rakan industri di seluruh Asia Tenggara.
Platform milik Fast Track Entertainment (FTE) dari Singapura bersama rakan penjenamaannya, Sony Music Malaysia itu turut menyediakan penghasilan kandungan digital asli, pendedahan media serantau serta kerjasama strategik bersama jenama bagi membuka peluang komersial baharu kepada artis terbabit. – GIT MEDIA
