KUALA LUMPUR: Pentas berprestij Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) dengan tema “Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia” serta mesej “Love Your Legacy, Elevate Your Future” bakal dipancarkan secara langsung dari Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026 (Sabtu), jam 9.00 malam menerusi TV3 dan aplikasi Tonton.
Malam gilang gemilang itu bakal menyaksikan sentuhan komposer dan penerbit terkenal, Aubrey Suwito, selaku Pengarah Muzik AJL40 yang diberi tanggungjawab besar untuk menghubungkan legasi kegemilangan AJL terdahulu dengan aspirasi masa depan industri menerusi susunan muzik yang lebih segar, kontemporari, dan bertaraf dunia.
Hos utama Naz Rahman dan Sissy Imann sekali lagi dipilih pada edisi kali ini.

Tiket bagi menyaksikan acara gilang-gemilang ini sudah mula dijual sejak 26 Jun lalu melalui laman web www.wowtix.com.my.
Bagi memeriahkan lagi demam AJL40, peminat boleh menyertai program Muzik Lab diadakan pada 11 Julai lalu di McDonald’s Pantai Sentral Park. Siri jelajah Meet & Greet Yang Ke-40 bersama barisan finalis juga akan digerakkan di Ipoh (12 Julai), Kuantan (18 Julai), Johor Bahru (25 Julai), dan berakhir di Kuala Lumpur (1 Ogos).
Terdahulu, AJL40 turut mengumumkan pengiktirafan Anugerah Ikon AJL40 yang diberikan kepada dua figura moden yang tidak asing lagi, iaitu Faizal Tahir dan Hael Husaini. Penghargaan khas ini diberikan atas sumbangan, impak, serta konsistensi mereka dalam memacu ekosistem dan pembangunan bakat industri muzik tanah air. – GIT MEDIA
