Buat Tuduhan Melulu, Bila Nak Minta Maaf? – Netizen Persoal Tindakan Beberapa Selebriti Dalam Isu ‘Rocky’

KUALA LUMPUR: Reaksi beberapa selebriti tempatan terhadap isu kematian anjing dikenali sebagai Rocky terus menjadi perhatian apabila sebahagian besar netizen meluahkan rasa kecewa terhadap hantaran yang disifatkan dibuat terlalu awal sebelum fakta lengkap berhubung insiden itu diperoleh.

Di media sosial, ramai pengguna berpendapat terdapat individu berpengaruh yang didakwa membuat kenyataan dan perkongsian berdasarkan maklumat yang belum disahkan, sekali gus mencetuskan pelbagai persepsi terhadap pihak penguat kuasa yang terlibat.

Malah, ada netizen mendakwa hantaran tersebut telah mendorong segelintir pengguna media sosial menyerang pegawai serta anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pelbagai kata-kata kesat dan tuduhan tanpa menunggu hasil siasatan dijalankan.

Dalam masa sama, netizen turut mempersoalkan sama ada pihak yang membuat tuduhan atau kenyataan awal akan tampil memberikan penjelasan atau permohonan maaf sekiranya hasil siasatan rasmi menunjukkan fakta yang berbeza daripada dakwaan yang tular sebelum ini.

Rata-rata netizen mengingatkan bahawa setiap individu, termasuk selebriti yang mempunyai pengaruh besar di media sosial, perlu lebih bertanggungjawab dalam berkongsi sesuatu isu, terutama yang masih berada dalam siasatan pihak berkuasa.

Perdebatan itu turut mencetuskan perbincangan mengenai tanggungjawab moral tokoh awam dalam memastikan setiap kenyataan yang dikongsi adalah berdasarkan fakta yang disahkan bagi mengelakkan fitnah, salah faham serta serangan terhadap mana-mana individu.

GIT Media mengingatkan orang ramai supaya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan mengelakkan sebarang spekulasi sehingga keputusan rasmi diumumkan oleh pihak berkuasa. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *