September 27, 2023

Bila Daddy Jadi Gangster

KUALA LUMPUR: Bayang seorang lelaki gangster yang terpaksa memikul tanggungjawab sebagai bapa. Demikian, naskhah terbaru yang diangkat dalam filem berjudul Daddyku Gangster. 

Syarikat produksi D’Ayu Pictures Sdn. Bhd. tampil dalam filem aksi komedi berkenaan yang diarahkan oleh Ismail Bob Hashim.

Penerbitnya, Datuk Rosmarayu Mokhtar berkata, nashkah filem berkenaan boleh memberikan kepuasan kepada penonton dengan jalan cerita yang cukup menarik.

“Idea untuk mencetuskan filem ini timbul apabila melihat kanak-kanak terbiar tidak mempunyai ibu bapa yang meninggal dunia.

“Selain itu, saya juga mendapat inspirasi daripada filem Hollywood iaitu Fast And Furios 8, di mana ia turut menerapkan elemen kekeluargaan, meskipun ia sarat dengan aksi,” ujarnya.

Beliau berkata, filem terbaru terbitannya itu menampilkan kelainan berbanding filem-filem gangster lain apabila ia mengetengahkan elemen kekeluargaan, terutama membabitkan hubungan dengan dua orang kanak-kanak dengan pakciknya yang sudah dianggap sebagai bapa.

Jelasnya, apa yang lebih istimewa lagi apabila ia turut menampilkan barisan-barisan pelakon yang hebat dan dikenali ramai, termasuk Zul Huzaimy yang memegang watak utama sebagai penjaga kepada dua anak saudaranya setelah kematian abangnya.

“Biarpun tajuknya Daddyku Gangster, tetapi ia sebenarnya sesuai untuk ditonton oleh semua golongan termasuk seisi keluarga.

“Disebabkan itu filem ini lebih mengetengahkan genre aksi komedi supaya ia tidak nampak sebuah naskhah yang nampak ganas,” jelasnya.

Selain Zul Huzaimy, antara barisan pelakon yang membintangi Daddyku Gangster seperti Adeline Tsen, Faizal Hussein, Jay Iswazir, Ridzuan Hashim, Zalif Sidek, Reen Rahim, Azri Iskandar, Vanidah Imran serta dua pelakon cilik hebat iaitu Angelica Petra dan Arryyan Petra.

Menelan kos pembikinan kira-kira RM2.5 juta, Daddyku Gangster menjalani penggambaran di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok, Kelantan pada awal tahun 2020.

Sementara itu, Ismail Bob selaku pula menyatakan Daddyku Gangster cukup istimewa kerana merupakan filem ke-20 yang diarahkan olehnya.

“Untuk kali ini, saya cuba ‘twist’ pula dengan menjadikan Zul Huzaimy pegang watak hero dan ternyata ia berjaya membawakan wataknya dengan berkesan,” ujarnya.

Filem Daddyku Gangster akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 1 Disember depan. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts