BANTING: Perancangan Allah itu paling sempurna untuk setiap manusia dan pastinya Dia mengetahui yang terbaik apatah lagi berkait hal jodoh.
Bagi pasangan pengantin Norsarizan Mat Youb dan Mohd Annas Ahmad Mahalli, sudah tertulis di luh mahfuz tarikh hari ini mereka sah bergelar suami isteri meskipun dalam suasana PKP pandemik Covid-19.
Pasangan ini selamat dinikahkan oleh abang pengantin perempuan sambil disaksikan wakil jabatan agama menerusi aplikasi Skype kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Majlis berlangsung dirumah pegantin perempuan di Jenjarom di sini secara tertutup termasuk dihadiri dua saksi yang juga adik beradik mereka.
Norsarizan yang lebih mesra disapa Ijan berkata, paling penting semua urusan wajib dapat dijalankan seperti yang dirancang.
“Bohong kalau kata kami tak terkesan, memang saya akui pening sebab ikut perancangan memang ada majlis resepsi sekali.
“Sepatutnya saya dan seorang lagi adik berkongsi majlis resepsi tapi kami akur dengan keadaan semasa,” katanya.
Dia turut berpesan supaya semua pihak terutamanya bakal pengantin menerima semua ketentuan ini dengan positif.
Ijan percaya ada rahsia dan hikmah untuk semua seperti memudahkan dan mendahulukan hal yang wajib dalam tuntutan agama untuk berumahtangga.
“Ikut prosedur dan SOP yang ditetapkan demi kebaikan bersama. Malah, saya lakukan sendiri persiapan sederhana untuk acara akad nikah hari ini,” katanya.
Gayah setuju dengan Ijan, first thing first lakukan yang wajib. Majlis impian mungkin boleh raikan ketika ulang tahun perkahwinan nanti. Come on guys, belajar hidup dalam norma baharu.