KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia Musim Ke-5 (AF5), Mila Jirin, mengakui pernah menangis apabila melihat rakan-rakan seangkatannya berjuang di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi kaca televisyen, sedangkan ketika itu dirinya sibuk menguruskan perniagaan.
Mila, yang kini lebih dikenali sebagai usahawan berjaya menerusi jenama Bizmilla, bagaimanapun berkata dia sentiasa percaya rezeki setiap insan telah diatur Allah SWT dan akan hadir pada waktu yang terbaik.
“Saya pernah menangis melihat rakan-rakan menyanyi di pentas AJL sedangkan saya ketika itu berada di dapur menguruskan tempahan pelanggan. Namun, saya percaya kalau Allah belum beri hari ini, Insya-Allah akan sampai juga rezeki itu pada waktu yang tepat,” katanya.
Mila berkongsi perkara itu ketika majlis pelancaran single terbaharunya, “Tersimpan Dalam Hati”, baru-baru ini.
Menurut penyanyi itu, meskipun lebih sedekad memberi tumpuan kepada dunia keusahawanan sehingga berjaya membangunkan jenama Bizmilla, kecintaannya terhadap muzik tidak pernah pudar.

Katanya, peluang kembali merakamkan lagu baharu menjadi detik yang cukup bermakna kerana ia membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya selepas sekian lama berehat daripada dunia rakaman.
“Tersimpan Dalam Hati bukan sekadar sebuah lagu buat saya. Ia membawa kisah perjalanan hidup yang penuh cabaran, pengorbanan dan harapan. Ada masanya kita terpaksa menyimpan impian kerana tanggungjawab yang lebih besar, tetapi saya percaya setiap impian akan kembali menemui jalannya apabila tiba waktu yang ditentukan Allah,” katanya.
Mengangkat tema kekuatan emosi dan harapan, Tersimpan Dalam Hati menampilkan sisi vokal Mila yang lebih matang, sekali gus memperlihatkan evolusi seninya hasil pengalaman hidup sebagai anak seni dan usahawan.
Kemunculan semula Mila menerusi karya tersebut turut mengubat kerinduan peminat yang sekian lama menantikan buah tangan baharu daripadanya sejak dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia Musim Ke-5 pada tahun 2007.
Meskipun tidak meletakkan sebarang sasaran terhadap pencapaian lagu itu, Mila berharap Tersimpan Dalam Hati mampu menyentuh hati pendengar dan menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui pelbagai fasa kehidupan.
“Saya hanya berharap lagu ini dapat diterima baik oleh peminat. Kalau ia mampu menemani seseorang yang sedang melalui saat-saat sukar dalam hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.
Single Tersimpan Dalam Hati kini boleh distrim di semua platform digital utama, sekali gus menandakan kemunculan semula Mila Jirin dalam industri muzik tempatan selepas memberi fokus membina empayar perniagaan yang berjaya selama ini. – GIT MEDIA
