KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) bakal menerbangkan semua artis yang tercalon ke Kuching, Sarawak bagi menghadiri malam kemuncak Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) yang dijadual berlangsung pada 26 September depan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi RIM dan AIM, Rosmin Hashim, yang menyifatkan penganjuran edisi Jubli Perak itu sebagai satu detik bersejarah apabila buat julung kalinya anugerah muzik paling berprestij negara diadakan di Bumi Kenyalang.
Menurut Rosmin, langkah membawa semua calon ke Kuching bukan sahaja memberi penghormatan kepada mereka yang berjaya melayakkan diri ke AIM25, malah menjadi simbol komitmen RIM dalam memperluaskan lagi pengaruh industri muzik tempatan ke seluruh negara.
Mengulas mengenai proses penghakiman pula, Rosmin menegaskan AIM sejak penubuhannya sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan profesionalisme dalam memilih pemenang.
Beliau berkata, setiap kategori dinilai oleh barisan juri berpengalaman yang dipilih berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing, sekali gus memastikan setiap keputusan dibuat secara adil dan berintegriti.
“Akan sentiasa ada keputusan yang tak dijangka kerana AIM berdasarkan kualiti lagu dan vokal, bukan populariti semata-mata.
“Seperti tahun lalu, Ryenald Guntabid menang kategori Vokal Terbaik walaupun dia tidak begitu dikenali. Namun, kehebatan vokalnya tidak boleh dinafikan,” katanya.

Rosmin turut menjelaskan bahawa setiap karya yang dipertandingkan melalui proses penilaian yang teliti berdasarkan kriteria teknikal serta artistik, sekali gus mengekalkan reputasi AIM sebagai platform yang mengiktiraf kecemerlangan sebenar dalam industri muzik tempatan.
Bagi edisi ke-25 ini, komposer dan penyanyi tersohor, Ajai, sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Juri AIM25.
Pelantikan beliau dilihat mampu memperkukuhkan kredibiliti sistem penghakiman berdasarkan pengalaman luasnya sebagai komposer, penerbit muzik dan penyanyi yang telah melahirkan pelbagai karya berkualiti sepanjang lebih dua dekad dalam industri.
AIM25 turut mencipta sejarah apabila buat pertama kali dianjurkan di Sarawak, sekali gus memperlihatkan usaha penganjur untuk mengangkat kepelbagaian budaya dan bakat muzik dari seluruh negara. Edisi Jubli Perak ini juga memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik, sebagai penghargaan terhadap perkembangan landskap muzik Malaysia yang semakin pelbagai.
Dengan tema meraikan kecemerlangan muzik tempatan selama 25 tahun, AIM25 dijangka menghimpunkan barisan penggiat industri, komposer, penulis lirik, penerbit, penyanyi dan pemuzik dari seluruh negara dalam satu malam penuh prestij yang meraikan karya-karya terbaik Malaysia.
Malam kemuncak AIM25 bakal berlangsung pada 26 September 2026 di Kuching, Sarawak, dan dijangka menjadi antara edisi paling bersejarah dalam perjalanan Anugerah Industri Muzik sejak diperkenalkan pada tahun 1993. – GIT MEDIA
