PETALING JAYA: Menerusi showcase Aku & Lelaki yang berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya pada 24 Oktober lalu, Misha Omar membuktikan bahawa selepas lebih dua dekad bergelar anak seni, kekuatannya bukan lagi sekadar terletak pada kemampuan vokal yang sememangnya sukar dipersoalkan. Sebaliknya, Misha sudah berada pada tahap seorang pencerita atau storyteller yang mampu menguasai perasaan penonton melalui nyanyian.
Malam berkenaan menyaksikan Misha seolah-olah menjelmakan dirinya ke dalam roh dan penghayatan lima penyanyi lelaki hebat tanah air iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Anuar Zain dan Hafiz Suip.
Dia mengambil semangat, kekuatan karya serta jiwa yang pernah menjadikan lagu-lagu penyanyi berkenaan begitu dekat dengan masyarakat, lalu mengolahnya menggunakan identiti dan sensitiviti muziknya sendiri.
Membawakan lagu penyanyi lelaki bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila karya berkenaan sudah mempunyai identiti vokal dan penghayatan yang begitu kuat dalam ingatan peminat.
Namun, Misha bijak mencari ruang untuk memberikan interpretasi tersendiri tanpa menghilangkan keaslian emosi sesebuah karya.

Menerusi segmen The Music Moguls, lagu Sentuhan Listrikmu, Penghujung Rindu dan Merisik Khabar dipersembahkan sebagai penghormatan kepada M. Nasir, Jamal Abdillah dan Allahyarham Sudirman.
Kekuatan segmen ini bukan terletak pada usaha membuktikan bahawa Misha mampu menyanyikan lagu lelaki dengan nada yang tinggi atau teknik yang mengagumkan. Sebaliknya, dia memahami bahawa setiap karya mempunyai cerita, latar emosi dan makna tersendiri.
Begitu juga ketika memberikan penghormatan kepada Anuar Zain menerusi Lelaki Ini dan Keabadian Cinta. Misha tidak sekadar menyampaikan melodi romantis yang sudah sebati dalam jiwa peminat, tetapi membawa sisi kelembutan dan kematangan yang menjadikan persembahannya terasa begitu peribadi.
Di sinilah terserlah kebijaksanaan Misha sebagai seorang penghibur yang memahami perbezaan antara menyanyikan lagu dengan menyampaikan sebuah cerita.
Bahagiamu Deritaku, Ketika Lagu Bertukar Menjadi Tangisan
Jika ada satu momen yang benar-benar memperlihatkan kehebatan Misha sebagai pencerita, tentunya ketika menyampaikan Bahagiamu Deritaku, karya yang cukup sinonim dengan Hafiz Suip.
Lagu berkenaan menjadi antara kemuncak emosi sepanjang showcase itu. Setiap perkataan yang keluar daripada bibir Misha seakan-akan mempunyai berat dan makna tersendiri.
Dia tidak perlu berlebihan dalam menzahirkan kesedihan. Cukup dengan permainan dinamik suara, penekanan pada bait tertentu serta penghayatan yang begitu jujur untuk membuatkan penonton larut dalam perasaan.
Ada ketika, kekuatan nyanyiannya bukan pada nota tinggi yang dilepaskan, tetapi pada cara dia menahan dan melepaskan emosi mengikut perjalanan melodi.
Misha tidak sekadar menyanyikan kesedihan. Dia membuatkan penonton memahami bagaimana kesedihan itu dirasakan.
Tidak hairanlah apabila persembahan berkenaan mengundang air mata dalam kalangan penonton yang dibawa menyelami perasaan cinta, kehilangan dan pengorbanan.
Inilah yang membezakan seorang penyanyi yang hebat secara teknikal dengan penghibur yang mempunyai keupayaan menyentuh jiwa.
Apa Lagi Yang Membuatkan Kalian Sayang Saya?
Di sebalik kehebatan persembahan vokalnya, sisi seorang Misha Omar yang lebih rapuh dan manusiawi turut terserlah sepanjang malam berkenaan. Beberapa kali penyanyi itu dilihat begitu emosional ketika cuba memahami mengapa masih ramai yang menyayangi dan terus memberikan sokongan kepadanya.
Pertanyaan tentang apa sebenarnya yang membuatkan peminat begitu sayang kepadanya kedengaran sederhana, namun membawa makna mendalam apabila keluar daripada seorang penyanyi yang sudah melalui pelbagai fasa dalam industri hiburan.
Dalam nada penuh penghargaan, Misha berterima kasih kerana peminat menerima dirinya seadanya.
Lebih menyentuh perasaan apabila dia turut mengimbas impian suatu ketika dahulu untuk menjadi seperti tiga nama besar industri muzik tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Ziana Zain dan Ella.
Namun, perjalanan masa akhirnya mengajar Misha sesuatu yang lebih bermakna. Dia tidak perlu menjadi sesiapa untuk terus disayangi.
Hari ini, dia memilih untuk menjadi Misha Omar.
Barangkali itulah juga sebabnya Misha kekal relevan. Dia tidak lagi berlumba untuk menjadi bayangan penyanyi lain, sebaliknya semakin selesa dan matang mengangkat identitinya sendiri.

Idris Ezzwa, Hero Kecil Yang Mewarisi Bakat Ibu
Satu lagi detik manis yang mencuri perhatian ialah kemunculan Idris Ezzwa, hero kecil dalam kehidupan Misha, yang turut berkongsi pentas bersama ibunya. Idris tampil menyampaikan Just The Way You Are sebelum bergandingan dengan Misha menerusi Risk It All, menjadikan persembahan itu lebih istimewa dengan keletah dan interaksi spontan mereka berdua.
Bukan sekadar pelengkap kepada konsep showcase, kehadiran Idris membuka ruang untuk penonton melihat sisi berbeza Misha sebagai seorang ibu. Menariknya, Idris memperlihatkan keyakinan dan potensi vokal yang memberikan petanda bahawa bakat seni ibunya turut mengalir dalam dirinya.
Momen dua beranak itu juga menjadi antara bahagian paling tulus sepanjang malam berkenaan kerana penonton bukan sekadar menyaksikan dua individu menyanyi, tetapi hubungan kasih sayang yang diterjemahkan melalui muzik.

Tiada Tembok Antara Misha Dan Penonton
Satu lagi kekuatan Misha yang wajar diberikan pengiktirafan ialah kebijaksanaannya berinteraksi dengan khalayak. Celotehnya bersahaja, ada ketika mengundang tawa dan pada ketika lain berubah menjadi perbualan yang cukup menyentuh hati.
Misha tahu bila perlu serius, bila perlu bergurau dan bila masanya untuk membiarkan muzik berbicara. Lebih menarik, dia dengan penuh yakin turun daripada pentas untuk mendekati penonton sambil menyampaikan Bunga-Bunga Cinta dan Semoga Abadi.
Pada ketika itu, jarak antara seorang bintang dan peminat seakan-akan terhapus. Yang tinggal hanyalah hubungan dua hala antara seorang penghibur yang mahu berkongsi cerita dengan insan yang selama ini menyokong perjalanan seninya.
Dua Jam Yang Terasa Terlalu Singkat
Perjalanan showcase selama lebih dua jam terasa berlalu begitu pantas. Susunan persembahan yang bergerak daripada lagu sentimental kepada karya yang lebih rancak menjadikan keseluruhan malam berkenaan tidak terperangkap dalam satu bentuk emosi.
Misha memahami bahawa sebuah showcase yang baik bukan sekadar memerlukan senarai lagu hebat, tetapi juga perjalanan persembahan yang mempunyai ritma, kejutan dan hubungan emosi dengan penonton.
Ada Misha yang romantis, ada Misha yang penuh kerinduan, ada Misha yang lucu, ada Misha sebagai ibu dan ada Misha yang masih mencari jawapan tentang kasih sayang luar biasa peminat kepadanya.
Pada akhirnya, showcase ini bukan cerita tentang seorang penyanyi wanita yang berjaya menyanyikan lagu-lagu lelaki hebat.
Sebaliknya, ia adalah kisah seorang wanita yang mengambil inspirasi daripada kehebatan mereka, lalu menjelmakan semuanya dalam identiti seninya sendiri.
Kerana apabila Misha Omar menyanyi, kita bukan sekadar mendengar sebuah lagu. Kita sedang mendengar sebuah kehidupan yang diceritakan melalui suara. – GIT MEDIA
