SHAH ALAM: Di sebalik senyuman yang sentiasa terukir, tersimpan sebuah kisah perjuangan yang cukup menyentuh hati. Walaupun hidup sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Radin Daniel, 35, tidak pernah menjadikan kekurangan dirinya sebagai alasan untuk berhenti berusaha mencari rezeki yang halal.
Lebih mesra disapa Din, dia menghidap Cerebral Palsy, iaitu keadaan yang menyebabkan sebelah kaki dan tangannya kurang kuat. Namun semangat juangnya tetap utuh apabila memulakan perniagaan biskut sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, kira-kira empat tahun lalu.
Kini, Din mengusahakan jenama Daniel Beeskut dengan menjual pelbagai jenis biskut di tapak car boot sale, acara komuniti serta menerima tempahan secara dalam talian melalui WhatsApp.
“Saya hanya mahu mencari rezeki yang halal dan hidup berdikari. Selagi masih mampu, saya akan terus berniaga,” katanya.
Walaupun pernah menerima bantuan daripada beberapa pihak, Din mengakui bantuan tersebut masih belum mencukupi untuk menampung kos sara hidupnya, lebih-lebih lagi dia tinggal bersendirian di sebuah rumah sewa dengan kadar sewa sebanyak RM550 sebulan dengan pendapatan yang diperoleh daripada hasil jualan pula tidak menentu.

“Ada bulan saya langsung tiada jualan. Kalau ada rezeki, pendapatan sebulan sekitar RM200 hingga RM300 sahaja,” katanya.
Keadaan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya. Setiap minggu, Din tetap turun berniaga bagi memastikan perniagaannya terus bertahan. Orang ramai boleh mendapatkan produk Daniel Beeskut di lokasi berikut:
- Jumaat & Ahad:
- Event: Tapak Trunk Subest Car Boot Sale, Subang Bestari
- Time: 6.30 petang – 12.00 tengah malam
- Sabtu:
- Event: PJ Night Car Boot Sale
- Time: 6.00 petang – 12.00 tengah malam
Selain jualan kepada pelanggan biasa, Din turut menyediakan perkhidmatan infaq biskut kepada individu, syarikat atau mana-mana pihak yang ingin menyumbangkan biskut kepada rumah anak yatim, pusat tahfiz serta badan-badan kebajikan.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan atau menyertai program infaq biskut boleh menghubungi Din di talian berikut:
- WhatsApp: 📞 012-211 8379
- Instagram: 📸 Daniel Beeskut
- Facebook: 📘 Daniel Beeskut
- TikTok: 🎵 Radin Daniel (OKU)
Dalam dunia yang semakin mencabar, kisah Radin Daniel membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk seseorang terus bangkit mengejar kehidupan yang lebih baik. Kadangkala, sokongan sekecil membeli sebungkus biskut mampu menjadi sinar harapan buat mereka yang tidak pernah berhenti berjuang. – GIT MEDIA
