Misha Omar Membeku Demi IDLYA – Letak Tanda Aras Baharu MV Tempatan

Membeku sehingga ke tahap -20 darjah celcius antara cabaran yang disahut Misha Omar demi menjayakan sebuah muzik video (MV) alunan merdunya berjudul I Don’t Like You Anymore (IDLYA), malah akuinya jujur dia menjadi orang yang membangkang saat awal idea penggambaran naskhah itu dibangkitkan.

Bagi wanta ini, mahu memberikan yang terbaik buat semua penggemarnya yang mesra disapa Kawan-Kawan Kak Mitch membuatkan semua yang susah dipermudah.

Senada juga dengan prinsip seorang Misha, yang tidak akan buat sesuatu hanya ala kadar, maka idea pengarah Chuan Looi disambut sebagai cabaran yang disempurnakan dengan penyanyi itu bersama pasukannya sehingga menghasilkan satu MV yang bersifat mega.

“Saya bangkang pada mulanya, kenapa perlu terbang jauh kenapa perlu naik kapal terbang, buat saja di sini tetapi bila saya lihat hasilnya, saya terharu dan saya dapat berikan yang terbaik buat semya Kawan-Kawan Kak Mitch,” kongsinya kala pelancaran muzik video IDLYA baru-baru ini.

Meskipun bukan mudah, kerana untuk menjayakan MV IDLYA menuntut tekanan yang tinggi buat keseluruhan produksinya sementelah perlu berpindah-randah di tiga lokasi sekitar sempadan China dan Kazakhstan dengan keadaan suhu sejuk melampau.

Tenyata, keputusan besarnya untuk menyahut cabaran itu amat berbaloi apabila MV yang dirakam di China di bawah arahan Chuan Looi menjadi penanda aras baharu dalam kerjaya seninya.

I Don’t Like You Anymore atau akronimnya, IDLYA ialah kesinambungan dari single terdahulu Misha berjudul Break yang dihasilkan oleh komposer yang sama iaitu Melly Goeslow.

Kesinambungan emosie ini diteruskan bersama Tohpati selaku penggubah muzik dan pengarah vokal, Datuk Syafinaz Selamat.

“Saya bersyukur kerana syarikat rakaman, Sony Music Malaysia turut mempunyai misi yang selari. Kami sangat teliti dalam setiap aspek produksi. Saya tidak suka kerja asal boleh. Banyak tapisan dan perbincangan dibuat dalam pemilihan lagu kerana kami mengutamakan kualiti.

“Saya hargai setiap pengalaman ini dan bertuah kerana sentiasa dipertemukan dengan mereka yang hebat dan jujur dalam berkarya,” katanya berkongsi pengalaman sepanjang kerja rakaman yang disempurnakan di Dexter Studios, Jakarta pada awal Januari lalu.

Kehadiran IDLYA turut menjadi jambatan buat Misha dalam melengkapkan misi mengumpul material bagi album penuhnya yang dijadualkan siap dalam tahun ini.

IDLYA bakal menjadi lagu tema drama bersiri, Kerana Cinta Itu Dusta yang akan menghiasi slot Samarinda di TV3 sepanjang Ramadan nanti.

Misha dalam gembira mengakui sebak saat menonton MV berkenaan kerana akhirya bagai mendapat jawapan pada kekalutan yang pernah menghantuinya dulu untuk meneruskan kerjaya nyanyian atau mengundurkan diri.

Hasil dan sokongan yang diterima hari ini membuktikan Misha masih relevan dan memasak kukuh koordinat dirinya dalam industri dan masih utuh dalam kelompok penyanyi terbaik negara.

Seperti selalu, Misha bercerita setiap satu perkataan dalam lirik IDLYA yang memanah terus ke hati. Misha, teruslah menyanyi. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *