March 20, 2025

“Tabik Uncle Awie!” – Dua Gen Alpha Kagum Persembahan Hebat Awie Di Konsert Triad

Ternyata Datuk Awie figura hebat yang selayaknya dinobatkan sebagai Rock Star Sepanjang Zaman dengan kemampuan menyempurnakan Konsert Triad baru-baru ini.

Awie bukan sahaja menarik perhatian dan peminat golongan dewasa serta sezaman dengan muziknya namun juga mencuri tumpuan peminat dari generasi alpha yang turut hadir pada konsert berkenaan.

Bagi dua bersahabat, Muhammad Syafi Rayyan Mohd Razam dan Nik Muhammad Haziq Nik Yusmadi, mereka kagum dengan tenaga luar biasa penyanyi yang sebaya usia bapa mereka.

“Tabik lah Uncle Awie, nyanyi tanpa henti dan lagu semua nada tinggi,” kata Rayyan.

Haziq juga bersetuju dan melihat Awie sebagai penyanyi yang berada pada kelas tersendiri.

Tambah Rayyan, dirinya memang meminati Awie kerana penyanyi itu dianggap contoh terbaik dalam industri hiburan kerana survival kerjaya seni penyanyi itup yang terus bertahan.

“Tak perasan bila Awie berehat, rehat pun tetap nyanyi dengan lagu perlahan, memang betul semua level TRX,” katanya.

Haziq juga gembira dan bertuah kerana berpeluang menonton konsert berkenaan dan berterima kasih kepada ibu Rayyan kerana sudi menaja tiket buat mereka.

Masing-masing yang berusia 15 tahun dan murid Sekolah Menengah Kebangsaan, Presint 11(1), Putrajaya turut merakamkan terima kasih kepada penganjur yang membenarkan mereka di bawah umur 18 tahun masuk menonton dengan pengawasan ibu bapa.

Awie yang cemerlang menjayakan konsert berkenaan melakar sejarah apabila Konsert Triad menerima pengiktirafan The Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai artis pertama yang mengetuai persembahan tiga kumpulan rock ikonik negara iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya

Pada konsert durasi dua jam setengah itu, Awie membuktikan keampuhan stamina yang dimilikinya menyanyikan 25 lagu tanpa henti. Lebih mencabar apabila kebanyakan lagu yang dipilih boleh dikatakan kesemuanya bernada tinggi.

Konsert anjuran Rumah Produksi Merah itu menyaksikan vokalis Wings itu menyampaikan lagu popular ketiga-tiga band berkenaan. Antaranya, Puisi Merdeka, Jerangkung Dalam Almari, Sejati, Romanis, Taman Rashidah Utama, Rentap, Bumi Kita Ada Naga, Kuda Tiga Kaki dan Maya.

Turut didendangkan, Pasti, Diari Habil Qabil, Nur Nilam Sari, Balada Pemuzik Jalanan, Rock N Roll Pie, Kejora, Mentari Merah Di Ufuk Timur dan Kereta Merah yang menjadi lagu penutup tirai konsert. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts