Penyanyi yang sedang mencipta nama Kay Khydir akui rasa bertuah apabila dapat muncul dengan lagu terbaharunya berjudul Ulang lebih-lebih lagi turut menampilkan artis versatil, Shiha Zikir.
Menariknya tentang lagu itu, ia diadun dengan elemen muzik berinspirasikan Pop Latin yang tidak terlalu berat, yakni sesuai dengan selera pendengar di Malaysia.
Karya tersebut digubah serta ditulis sepenuhnya oleh Firdaus Rahmat, Iqie Hugh dan John Jeeves.
“Sebenarnya sudah lama saya tertunggu-tunggu untuk menyanyikan lagu genre sebegini dalam kerjaya muzik saya. Saya memang suka muzik ala Pop Latin.
“Menambah lagi keistimewaan, saya diberi pula peluang untuk berduet dengan sahabat saya Shiha Zikir yang sangat saya kagumi.
“Memang seronok rasanya dapat bekerjasama dengan insan-insan hebat seperti Shiha, Firdaus, Iqie dan John. Hasil kerja mereka pun sudah kerap mara ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu,” kata Kay.
Dalam pada itu, Kay atau nama kelahirannya Nur Khaidir Muhid, 36, terharu kerana diberi peluang beraksi dalam video muzik Ulang yang diterbitkan oleh Shiha Zikir Empire (SZE).
“Semoga ada sinar kejayaan untuk lagu ini, seperti tajuknya Ulang, harapnya lagu ini boleh terus diputar berulang kali dan disukai pendengar muzik tanah air serta mereka di negara-negara jiran,” ujar Kay lagi.
Sementara itu, Shiha pula menganggap kerjasama dengan Kay untuk lagu Ulang berjalan dengan lancar.
“Kerjasama dengan Kay sangatlah mudah sebab kami pun sudah lama kenal dan berkawan baik. Apabila urusan kerja senang, saya pun rasa teruja dan syukur Alhamdulillah, proses rakaman vokal dan video muzik berjalan lancar seperti yang dirancang.
“Watak ala Bond Girl itu adalah hasil idea daripada Arul, saya suka tetapi hanya untuk video muzik itu saja.
Selaku pemilik syarikat SZE dan produser eksekutif bagi lagu Ulang, Shiha menjelaskan sebab dia memilih untuk berduet bersama Kay.
“Kay sebenarnya seorang penyanyi yang berbakat dan saya sendiri sukakan suaranya.
“Apabila saya sudah ada syarikat rakaman dan pengurusan sendiri seperti sekarang, kenapa tidak saya hadiahkan Kay satu lagu yang dia suka dan untuk mencipta memori dengan seorang sahabat, saya pun berduet sama dengannya.
“Mula-mula saya dengar lagu ini, ia kedengaran seksi dan segar. Lagipun saya rasa ia sangat sesuai untuk Kay sebab dia memang minat lagu-lagu Michael Buble, dan lagu-lagu ala runut James Bond. Lagu Ulang ini ada sound yang dekat dengan lagu-lagu seperti itu dan ia masih sesuai dengan minat kebayakkan orang di luar sana.
“Saya harap ia mendapat sambutan yang positif daripada para pendengar. Kalau ramai yang suka lagu ini, tak mustahil ia boleh jadi penyebab Kay makin disukai ramai. Kita doa yang baik-baik saja,” katanya. – GayahIsTyping
You may also like
-
M.Nasir Lakar Sejarah – Tampil Konsert Khas Hari Raya
-
Terpaling Raya Jadi Tum Tum Raya – Shiha Zikir Dan Ieda Berkurung 22 Jam Demi Muzik Video
-
RR By Rizman Ruzaini Kekal – Tambah Koleksi Selain Baju
-
Buka Puasa Hari-Hari Dengan Durian Musang King – Buffet Ramadan Hotel Tenera Terus Jadi Pilihan Ramai
-
Beraya Dengan Biduanita Negara – Siti Nurhaliza Pamer Koleksi Busana Peribadi Sempena Budaya Raya