January 19, 2025

Baru Tiga Tahun Choco Albab Sudah Ditawar Sebagai Penaja Rancangan Hiburan – Sasar 200,000 Usahawan 2025

Meskipun baru menyambut ulang tahun ketiga, Choco Albab sudah mula ditawarkan untuk menjadi penaja rancangan hiburan utama dan berprestij di negara ini.

Pengasas Choco Albab, Said Saiful Fazli Said Aluwi berkongsi, dia menerima beberapa lamaran dari stesen televisyen untuk menaja rancangan hiburan terkenal sejak tahun lalu lagi.

“Pastinya sesuatu yang membanggakan apabila stesen televisyen nampak jenama produk saya ada keupayaan dan kemampuan sebagai penaja mereka.

“Saya akui ada menerima panggilan malah ada yang sudah berjumpa dan menawarkan syarikat saya sebagai penaja utama untuk program hiburan mereka.

“Saya sambut baik namun pada saya semua hal itu perlu perancangan yang lebih rapi dan persediaan daripada pihak saya dan pasukan,” katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun Choco Albab yang Ke-3 bertemakan Beyond the Star di Bangi Avenue Convention Center pada Sabtu lalu.

Said Saiful menambah, jumlah tajaan bukan menjadi halangan atau masalah sebaliknya persediaan pasukannya dalam berdepan dengan impak sebaik menjadi penaja menjadi ukurannya.

Seperti nasihat mentor perniagaannya Datuk Zafrol Rizal Mat atau Jerry, syarikat perlu mempunyai persediaan rapi termasuk stok yang mencukupi bagi memenuhi permintaan selepas muncul sebagai penaja.

“Berdasarkan rekod saya yakin impak sangat hebat dan permintaan akan meningkat jadi saya perlu memikirkan faktor ini sebelum membuat keputusan untuk menaja,” katanya.

Said Saiful juga menambah, dia masih percaya kemampuan selebriti sebagai tarikan utama dalam sesebuah produk yang diperkenalkan.

Katanya, Choco Albab ketika awal kemunculan turut menggunakan khidmat selebriti iaitu Khai Bahar dan memberikan impak yang baik.

“Kita akui selebriti juga mampu menjadi tarikan untuk mempromosikan sesuatu produk dan kami juga pernah menggunakannya cuma kita juga turut menggunakan kaedah lain.

“Saya juga tidak menolak menggunakan khidmat selebriti pada masa depan mengikut kesesuaian produk yang akan dikeluarkan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan Ratu Rock Ella turut muncul menghiburkan tetamu yang hadir.

Said Saiful yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Saudagaar Asia Sdn Bhd berkata, dalam masa tiga tahun, Choco Albab telah mencapai kejayaan yang membanggakan iaitu membahagiakan sekitar 100 ribu agen dan melahirkan puluhan Crown Leader.

Tambahnya, ada usahawan yang berjaya meraih pendapatan mencecah RM90,000 sebulan hasil jualan produk Choco Albab.

“Pada 2025, saya sasarkan 200,000 usahawan bersama dengan Choco Albab, menjadi agen dan meningkatkan Choco Albab sebagai jenama produk berasaskan coklat tempatan nombor 1,” katanya.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun ini, Choco Albab turut melancarkan produk baharu, iaitu Choco Albab Hazelnut Spread yang dijangka menjadi pilihan kegemaran ramai.

Dengan kejayaan yang dicapai dan perancangan yang menjanjikan masa depan yang cerah, Choco Albab kini berdiri sebagai jenama yang bukan sahaja memberikan kebahagiaan melalui produk berkualiti, tetapi juga melalui peluang keusahawanan yang mengubah kehidupan. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts