January 19, 2025

Notis Tuntutan Bekas Isteri – Fattah Serah Peguam

Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin, mengesahkan sudah menerima notis tuntutan (LOD) daripada bekas isteri, Nur Fazura berhubung kenyataan di mahkamah membabitkan isu kenderaan. 

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34 berkata notis berkenaan sudah dibalas dan diserahkan kepada peguam yang dilantik untuk tindakan selanjutnya.

“Iya, saya ada terima LOD rasanya sekitar bulan lalu iaitu sebelum saya mengerjakan umrah. Saya pun kurang pasti tarikh sebenar.

“Saya serahkan kepada peguam untuk memberi balasan. Notis jawapan balas sudah diserahkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu tujuh hari bermula tarikh LOD diterima.

“Setakat ini itu sahaja yang saya boleh kongsikan. Perkara seterusnya saya cuma tunggu sahaja di mahkamah,” katanya pada sidang media Usanita Entertainment yang berlangsung di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd Datuk Adzliana Prof Dr Hasan mengumumkan Fattah dan Sophia Albarakbah sebagai duta eksklusif dan wajah baharu badan itu.

Bagaimanapun Fattah enggan berkongsi secara terperinci mengenai kandungan surat yang diterima.

“Itu adalah urusan personal. Saya tak boleh kongsi, lebih baik saya simpan sendiri” jelasnya.

Terdahulu, isu kenderaan yang dihadiahkan Fazura kepada aktor tersebut kembali menjadi bualan selepas difahamkan peguam bekas isterinya menyerahkan notis tuntutan yang disebutkan.

Ini kerana ketika sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada Oktober lalu, Fazura dalam satu kenyataan memberitahu dia menghadiahkan sebuah kereta untuk Fattah.

Membalas kenyataan tersebut, Fattah ketika itu menegaskan kereta itu bukan hadiah sebaliknya dia membayar ansuran bulanan menerusi potongan gaji. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts