KUALA LUMPUR : Nama Liza Hanim selayaknya berada dalam senarai penyanyi terbaik di negara ini dan pada kategori kelas A.
Liza memacu kerjaya seninya dengan kemas dan bebas dari gosip liar. Pemilik nama Haliza Hanim Abdul Halim ini bukanlah artis yang dahagakan perhatian serta kontroversi atas nama populariti.
Satu yang digenggam kemas anak kelahiran Klang ini ialah, bakat sebagai senjata membina namanya dalam koordinat industri hiburan tanah air.
Melihat Liza pada malam konsert sulungnya Liza Hanim 27 Years Journey awal Februari lalu, jelas memaparkan betapa dirinya mempunyai kualiti tersendiri. Meski dibelenggu masalah kesihatan, dia tidak gentar dan tidak mengalah malah mempamerkan semangat The Show Must Go On dengan jelas sekali.
“Saya akan lakukan yang terbaik. Jujurnya kesihatan saya tidak berapa baik, tapi anda semua semangat saya,” ikrar Liza sebaik memulakan persembahan.
Lantaran, 30 lagu disampaikan dengan baik dan mendapat sokongan berterusan penonton yang hadir.
Pemilik gelaran penyanyi dengan vokal terbaik ini juga bijak menggunakan pentas konsert dengan menampilkan anaknya Marsya Qistina berduet lagu Bahagiakan Dia.
Liza juga larut dalam emosi dan menitiskan air mata ketika mendendangkan lagu Tiada yang membawa kenangan arwah bapanya, sehinggakan nyanyiannya terhenti seketika sebelum menyambung semula selepas mendapat tepukan gemuruh penonton.
“I’m always a daddy’s girl. Bismilahirahmanirahim,” katanya.
Liza turut memberikan warna istimewa menerusi segmen tribute khas untuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee serta insan rapat yang sudah meninggalkannya menerusi lontaran suara lunak mendendangkan lagu Di Manakan Ku Cari Ganti, Jeritan Batinku dan Istana Cinta.
Liza juga bertuah konsert sulungnya dihadiri teman artis termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anuar Zain, Jaclyn Victor, Nikki Palikat, Aisha Retno, Noryn Aziz dan ramai lagi.
Liza turutberkongsi rasa terharu dengan sokongan kesemua penyanyi hebat dan ikonik negara itu.
“Terima kasih kepada semua rakan artis yang sudi hadir dan saya akan cuba sedaya upaya untuk hadir ke konsert rakan-rakan juga,” katanya.
Secara keselurahan, pastinya seisi penonton puas dengan persembahan Liza terutamanya menerusi lagu-lagu hit seperti Gelisah Mimpi, Getaran Cinta Di Jiwa, Merawat Luka Terpendam, Ku Idamkan Rindu, Kerana Terlalu Menyintaimu, Andainya Aku Bersuara dan banyak lagi.
Cuma pada penulis, lagu encore Liza pada malam itu sepatutnya Siapa Sangka Siapa Menduga bagi memberikan satu momen lebih mahal menterjemahkan kredibiliti seorang Liza Hanim. Lagu itu lebih relevan dan signifikasi berbanding lagu My Heart Will Go On nyanyian asal Celine Dion.
Konsert anjuran LH Media Sdn Bhd bersama Laugh Out Loud Entertainment itu mendapat sambutan peminat yang memenuhi ruang termasuk di VIP Box. – GayahIsTyping
You may also like
-
SFMM39: 30 Lagu Bersaing – Saingan Power Vocal & Penyanyi Baru
-
Gie Cipta Sejarah – Juara Wanita Pertama Kilauan Emas
-
Jamal Abdillah Imbau Memori Cinta Zack Azura – Konsert Istimewa Februari 2025
-
Aliff Syukri Tolak Tawaran Konsert – Fokus Perniagaan Beg Kulit Setanding Jenama Mewah Antarabangsa
-
Ernie Teruja Persembahkan Dirinya Di Aura: Ernie Zakri Live in Concert – Sufi Rashid Akui Ernie Pilihan Utama