December 8, 2024

Liza Hanim Juara Pilihan Ramai

KUALA LUMPUR : Nama Liza Hanim menjadi sebutan dan pilihan majoriti penonton sebagai juara All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang berlangsung malam tadi di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ramalan itu berdasarkan persembahan kemas yang ditampilkan naib juara Gegar Vaganza (GV) musim keempat itu membawakan lagu tugasan yang diberi.

Hakikatnya, bukan rezeki pemilik suara emas ini yang hanya berada di tempat keempat keseluruhannya.

“Alhamdulillah semua ini sudah cukup buat saya gembira, bila semua kata begini.

“Memang saya sasarkan ke final dan malam ini saya puas hati dengan apa yang saya sampaikan,” katanya dalam lirikan senyum tenang.

Liza membawakan lagu My Heart Will Go On nyanyian asal Celine Dion dan berduet bersama Aina Abdul menerusi lagu Terus Hidup.

Dia berkata demikian sebagai mengulas majoriti netizen dan peminat yang memilih dirinya sebagai juara.

Liza juga menitiskan air mata sebaik mengenangkan penerimaan dan sokongan hebat pada dirinya yang hampir tiga dekad dalam industri.

Akuinya, dia sendiri pernah tertanya-tanya adakah masih relevan dan diterima peminat seni tempatan.

“Persoalan itu sangat menyentuh jiwa saya dan memang saya pernah terfikir, juga ketika menyertai ASGV.

“Syukur saya menerima sokongan dan dorongan peminat yang tidak putus-putus menyokong,” katanya.

Katanya, dia juga berbangga kerana menyahut cabaran dengan lagu-lagu di luar keselesaannya sepanjang bersaing di ASGV.

 

“Apa saja lagu yang saya tidak dapat, tidak semua lagu yang saya biasa dan selesa. Alhamdulillah saya bawakan dan selesaikan semampu saya,” katanya.

Liza dalam pada itu memberitahu dia mahu menumpukan perhatian seterusnya dalan persaingan Semi Final Muzik-Muzik 38 minggu ini dan bakal mengadakan konsert sulung pada Februari tahun depan. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts