PETALING JAYA: Penyanyi Aweera mengakui dia bertuah kerana dapat meraikan Syawal bersama anak tahfiz dan anak yatim dalam Majlis Rumah Terbuka Jennaira Holdings Sdn Bhd x Arviena di Hotel Royal Chulan di sini.
Baginya, berkongsi kemeriahan dengan anak-anak itu membuatkan dia lebih menghargai kehidupan dan bersyukur dengan rezeki yang diberikan.
“Alhamdulillah saya seronok tengok mereka gembira dan tersenyum. Juga buat tuan rumah Jennaira Holdings yang menjemput,” katanya.
Peluang bertermu dengan Aweera turut digunakan untuk bertanya mengenai single terbaharunya.
Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Norhissam, 31, berkata dia lebih mengutamakan karya yang bersifat malar segar.
“Macam contoh, lagu Isabella. Kalau dengar rasa macam baru semalam dilancarkan. Saya nak begitu. Kalau penyanyi lain mahu ketengahkan benda yang viral, itu terpulanglah. Itu hak masing-masing.
“Cuma bagi saya, saya lebih pentingkan naskhah yang ‘masterpiece’, maksudnya mungkin dalam tempoh 20, 30 tahun lagi orang tetap akan ingat lagu kita. Itu yang saya mahu,” katanya.
Aweera bakal melancarkan single baharu, Menakluk Hatimu ciptaaan Tam Spider dan liriknya ditulis Keon, Julai depan.
Kali terakhir Aweera muncul dengan lagu Wanita Cinta Teragung, lebih enam tahun lalu.
Sementara itu, Jennaira Holding yang diusahakan Datin Seri Azlina Hanim dan suami, mempunyai beberapa rangkaian bisnes lain seperti minuman, makanan, ais krim yogurt, produk kesihatan serta beberapa perniagaan lain.
“Tudung Jennaira bersama dutanya, Arviena masih dikira baru dan alhamdulillah setakat ini sambutan yang diterima secara dalam talian cukup positif.
“Kami keluarkan tudung ini secara tiga peringkat menerusi 10 corak dan konsep berbeza. Ia menggunakan fabrik satin, ada bawal dan juga shawl. Harganya mampu milik, RM70 sehelai dan syukur, ia juga turut dipasarkan di Indonesia.
“Setiap keluaran itu terhad. Kena ‘pre-order’, jadi ia lebih eksklusif dan insya-Allah, koleksi baru akan dilancarkan bersempena Hari Raya Haji nanti,” katanya yang turut optimis mengeluarkan telekung, tidak lama lagi.
Percaya rezeki lebih bermakna bila dikongsi, Azlina berterima kasih kepada semua pihak yang sudi bersama-sama menjayakan rumah terbukanya, tahun ini.
“Kita jemput lebih 700 anak tahfiz dan anak yatim untuk sama-sama meraikan hari raya. Malah ketika sambutan hari jadi suami dan buka puasa sebelum ini, kami turut jemput mereka. Sudah jadi satu tradisi bagi kami di Jennaira Holding.
“Malah setiap pembelian tudung ini atau mana-mana produk keluaran kami, mereka secara tak langsung turut menderma dalam menjayakan rumah terbuka ini.
“Majlis yang bermula sekitar jam 2.00 petang dan membawa ke malam dengan tema Bollywood berjalan lancar syukur alhamdulillah,” katanya. – GayahIsTyping
You may also like
-
8,000 Banjiri Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire – Lahir Bakat Pelapis Industri
-
Angkara Gigitan Ziana Zain – Pontianak 200 kg Mangsa Cinta Tiga Segi
-
FYP Untuk Siapa Yang Makan Cili – Drama Band Tampil Konsert Sulung
-
Suria FM Terus Jadi Pilihan – Jelajah Suria Kuasa 2 Tawan Empat Lokasi
-
Dedah Kisah Untold Story – Wajib Tonton Teater Dang Anum Versi The Redholah