January 17, 2025

Hazrul Nizam Duet Dulu, Baru Solo

PETALING JAYA : Bukan lupakan single solo, tetapi bagi bintang terkenal Singapura, Hazrul Nizam urusan lagu duetnya terlebih dulu dipermudah untuk muncul semua selepas lagu berhantu Kaulah Segalanya

Bekas finalis Gegar Vaganza Musim ke-9 itu tampil dengan single duet berjudul Sejuta Kata bersama penyanyi Diana Nazyra.

“Ada yang bertanya kenapa saya tak keluarkan single solo selepas tamatnya program realiti terbabit. Saya ada perancangan itu dan sedang dalam proses untuk menghasilkan karya solo.

“Tapi, projek duet ini perjalanannya sangat mudah. Selepas perbincangan, segalanya berjalan lancar dan akhirnya ia selamat muncul menemui peminat. Saya berharap lagu ini mendapat tempat di hati peminat,” katanya.

Mengenai single terbarunya, Hazrul berkata dia dan Diana sudah lama bersahabat baik, mereka menanti 15 tahun untuk merealisasikan impian untuk berduet dalam sebuah karya.

Merupakan lagu ciptaan Omar K dan Hazama, Sejuta Kata mula menemui peminat pada 23 Mei yang lalu di semua pelantar penstriman digital dan video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Alternate Records & Talents.

“Masing-masing berada dalam industri hiburan Singapura, jadi kami sudah lama mengenali dan selesa berkawan baik. Sudah lama sebenarnya kami merancang untuk berduet dalam sebuah lagu, hampir 15 tahun.

“Namun, dek kerana kesibukan masing-masing, keinginan kami ini sentiasa tertangguh. Akhirnya, selepas Hazrul selesai bertanding dalam sebuah program realiti nyanyian tahun lalu, idea ini timbul semula dan akhirnya impian kami menjadi kenyataan.

“Saya berbangga kerana dapat menyanyi bersama Hazrul dalam karya indah yang dicipta oleh komposer profilik, Omar K dan penyanyi popular, Hazama. Saya berharap ia mendapat respons positif pendengar muzik nusantara,” kata Diana.

Tambah Hazrul yang terkenal dengan lagu Kaulah Segalanya, proses untuk menghasilkan karya duet ini dipermudahkan dan mendapat sokongan penuh HMA Entertainment.

Lagu duet terbaru dari Hazrul dan Diana ini menceritakan kisah cinta yang amat indah dan sukar digambarkan walau dengan sejuta kata. Meski ada halangan sepanjang hubungan, mereka berjanji akan kekal setia menanti hari bahagia yang bakal tiba. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts