Ziana Zain ternyata definisi terbaik bagi gelaran diva industri seni negara bersama alibi kukuhnya menjadi anak seni sejak 35 tahun lalu.
Terbaharu, pesona memukaunya pada Ziana Zain Konsert 2024, menjadi sebuah lagi bukti anak kelahiran Merlimau Melaka ini berada pada kelasnya tersendiri dan sukar digugat.
Ziana menampilkan sebuah konsert yang seimbang pada semua sudut terutamanya lagu, bunyi, komunikasi dan fesyen yang menjadikan persembahan genap seminggu lalu satu lagi resume hebat dalam kerjaya nyanyian bekas pramugari ini.
Seorang Siti Roziana Zain pada umur 56 tahun, masih ampuh berdiri dengan pesona memikat malah tidak sedikit pun menjadikan usia penghalang untuk dirinya menakluk lebih 5,000 penonton di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Meski diuji dengan sedikit masalah teknikal penyanyi yang pernah mengharumkan nama negara di Voice of Asia di Kazakhstan ini profesional dan bijak mengawal suasana. Ya, pengalaman berharganya menjadi perisai.
“The show must go on. Pada saya semua ini hal normal dan maklumlah zaman dulu tidak ada ear monitor, ini semua peredaran zaman dan kita perlu mengikutinya,” katanya.
Memulakan persembahan dengan lagu-lagu rancak, Ziana tidak menunggu lama untuk memegang khalayak terus larut dengan dirinya pada malam itu.
Ibu kepada empat cahaya mata ini menggunakan pengalamannya berceloteh dan membuatkan seisi dewan dekat dengan dirinya, pada Ziana semua peminatnya sama dan berhak mendapat layanan serupa.
Ziana dan pasukan konsert yang diarahkan oleh Jennifer Thompson dan muzik pimpinan Aubrey Suwito itu bijak menjaga momentum dan graf perjalanan persembahan.
Transisi mood dan lagu yang ditampilkan membuatkan penonton terus lekat dan tertumpu pada pentas serta menunggu apakah seterusnya yang bakal dihidangkan.
Lagu-lagu nyanyian dan pilihan Ziana juga sangat menarik meski ada beberapa lagu hit lain yang tidak tersenarai, mana mungkin semua mampu dimasukkan dalam sebuah konsert.
Kasih Ku Pertahankan yang julung kali dinyanyikan dalam edisi konsert berjaya disempurnakan Ziana dengan baik malah meninggal bekas kepada penonton.
Ziana teruskan dengan lagu-lagu lain antaranya Kekal, Fatalistik, Berpisah Jua, Korban Cinta dan Terkenang Jua serta berduet dengan penonton menerusi lagu Senja Nan Merah.
Penyanyi dengan signatur kening terangkat ini juga tidak lokek apabila melayan permintaan penonton dengan menyampaikan lagu secara spontan seperti Syurga Di Hati Kita dan Dugaan Buatmu.
Apabila mendengar kembali lagu-lagu Ziana hati terdetik banyak sebenarnya sonata indah alunan diva kesayangan ramai ini yang sepatutnya diangkat sebagai lagu terbaik.
Kemelut Di Muara Kasih dan Senja Nan Merah misalnya, entah di mana kurangnya namun ya kita akur pada soal rezeki.
Ziana turut memberikan banyak mesej dan ingatan buat semua betapa pentingnya meletakkan ibu bapa dan keluarga pada arash utama kehidupan.
“Doa dan berkat ibu bapa sangat penting dalam hidup begitu juga sokongan adik beradik.
“Saya sedikit pun tidak kisah pada usia 56 tahun abah dan mak masih telefon tanya saya balik jam berapa dan baju apa yang saya pakai.
“Itu satu nikmat sangat bermakna dalam hidup saya dan sehingga ke hari ini itulah rutin saya bersama abah dan mak,” tutur Ziana sebak.
Satu mesej penting dari living legend ini untuk bakat baharu industri seni, nyanyian pada dirinya ialah punca rezeki dan periuk nasi bukan sekadar hobi.
Lantaran, tidak hairanlah Ziana sangat menjaga kerjaya seninya dan sentiasa memastikan semua hal dititik beratkan termasuk menjaga hubungan dengan semua pihak membuatkan datanglah seribu pun penyanyi baharu, koordinat Ziana Zain dalam industri seni sentiasa ampuh.
Penampilan dan aura Ziana juga sentiasa lulus dengan cemerlang termasuk pada konsert lalu apabila menyarung baju rekaan Datuk Rizalman Ibrahim, Ezuwan Ismail dan Rizman Ruzaini.
Ziana hampir hilang kata-kata dan terharu apabila Rizalman sanggup mereka baju buatnya mengimbau kenangan betapa pereka ikonik itu antara yang memainkan peranan penting dalam penampilan Ziana ketika kemuncak kerjayanya.
“Saya sangat terharu apabila beliau (Rizalman) sudi membuat baju untuk konsert kali ini,” kongsinya.
Rekaan Rizalman memukau dan menterjemahkan betapa pereka itu faham siapa Siti Roziana melalui potongan dan rekaan yang dihasilkan.
Itulah Ziana sejak dahulu yang bijak bergaya dan menjaga setiap inci penampilan dirinya serta tidak hairanlah menjadi antara artis Asia pertama dilamar jenama besar seperti Omega dan Fendi.
Kredit juga wajar diberikan kepada juru solek Bobocinta dan penata gaya Abu yang melaksanakan tugas dengan baik dan memastikan Ziana Zain tampil sebagai seorang diva sebenar.
Menerusi konsert yang dibawakan CSA Academy selaku penganjur utama bersama Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd serta Altus ProHouse, membuatkan hampir tiga jam masa berlalu begitu pantas.
Menerusi konsert ini, Ziana juga sudah berjaya melawan trauma dek beberapa siri konsert yang tidak kesampaian sebelum ini.
Ziana juga mendapat suntikan dan melempar skeptikal usia penghalang untuk sebuah persembahan berskala besar buat dirinya.
Ditanya apa reaksi orang kuat yang berjaya memujuknya membuat konsert berkenaan iaitu adiknya Anuar Zain, Ziana tersenyum dan menghela nafas panjang.
“Anuar bisik dan ucap tahniah. Alhamdulillah, I always believe in you. Congrats,” katanya.
Pastinya Ziana Zain Konsert 2024 menjadi kenangan indah buat semua Ziana Folks yang menanti lebih dua dekad penyanyi kesayangan mereka itu beraksi.
Bukan setakat puas, penulis percaya setiap mereka bangga bergelar penggemar Ziana Zain tanpa berbelah bahagi.
Sebagai seorang yang meminati Ziana sejak dia di’boo’ di Dataran Merdeka kala melantunkan lagu Madah Berhelah, penulis akui bangga dan puas melihat Siti Roziana Zain beraksi di pentas konsert Sabtu lalu.
Benarlah, tidak salah penulis menjadi penggemar Ziana dan pendukung setia penyanyi itu sejak dulu, kini dan selamanya! Ziana Folks forever, Tika Naik, Tika Jatuh.- GayahIsTyping
You may also like
-
Fattah Fazura Cerai: Nafi Curang, Tak Sangka Buka Aib
-
Fazura Fattah Cerai – Abai Nafkah, Tiada Persefahaman Dan Curang
-
Terima Kasih Suria FM – Buka Peluang Penyanyi Dikir Kelantan Ketengahkan Bakat
-
Abang Bomba Pendengar Setia Suria FM – Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire Tarik Peminat Brunei, Singapura
-
Baim Wong Bawa Anna Jobling Ke Indonesia – Terima Tiga Tawaran Selepas Lembayung