KUALA LUMPUR: Komposer Hanif Khan mengakui dia menyimpan angan untuk memberikan lagu ciptaannya Kembara Nabawi kepada Aina Abdul sebaik menonton persembahan penyanyi itu pada AJL lalu.
Dia berkata, lagu yang sudah lama disiapkan itu memang sedang mencari penyanyi yang sesuai dan Aina adalah rezeki buatnya.
“Saya memang nampak kalau lagu ini dinyanyikan Aina ia akan menjadi satu yang lengkap buat karya saya. Alhamdulillah semua dipermudah.
“Saya sendiri pada awalnya tak sangka, Mak saya pun tak percaya. Dia tanya betulkah Aina menyanyikan lagu saya,” katanya kepada GayahIsTyping.
Hanif atau mesra disapa Anep berkata lagu itu diserahkan kepada Aina selepas penyanyi lagu Terus Hidup itu pulang mengerjakan umrah baru-baru ini.
“Proses rakaman berjalan lancar dan hari ini secara rasmi lagu istimewa ini berkumandang dan saya juga gembira apabila Ali Zahra Holding Sdn Bhd sudi bekerjasama menggunakan lagu ini.
“Terima kasih juga menyediakan platform lagu ini dilancarkan hari ini,” katanya pada satu majlis yang dianjurkan oleh syarikat produk kesihatan itu.
Pemilihan lagu itu seiring dengan produk Ali Zahra serta konsep syarikat yang menekankan Berniaga Sambil Beribadah.
Hanif yang juga anggota kumpulan Otwo berkata, ditulis oleh FJ Muzik dan digubah sepenuhnya oleh Alan, Anep dan Izan daripada kumpulan berkenaan.
Dia yang juga Pengarah Urusan Asia Empire Record berkata, semua rakaman dan adunan dibuat sepenuhnya di studio rakaman mereka dan lagu ini menceritakan tentang perjuangan dan kehidupan Baginda Rasulallah S.A.W.
Lirik video rasmi Kembara Nabawi boleh dilayari di YouTube rasmi Asia Empire Records dan pihak Ali Zahra didalam perancangan untuk membawa pasukan muzik ini ke Kota Madinah bersama penyanyinya untuk membuat muzik video bagi merasai pengalaman dan semangat juang Baginda.

Terbaharu, Otwo sedang hangat dengan single mereka berjudul Superock Kasanova menampilkan Asheed Def Gab C.
Aina ketika ditemui melahirkan rasa gembira dengan lagu berkenaan dan mengakui ia percubaan pertamnya.
“Saya akui agak sukar pada awalnya sebab sudah lama tidak nyanyikan lagu sebegini kerana lebih kepada balada, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. – GayahIsTyping