December 8, 2024

DJ Lin Terus Relevan Dan Ampuh

KUALA LUMPUR: Penyampai radio popular DJ Lin terus mendapat pengiktirafan dan membuktikan dirinya relevan serta ampuh dalam radar industri hiburan.

Pemilik nama sebenar Roslinda Abd Majid itu juga menambah satu lagu resume kejayaannya apabila dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia dalam anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2023 baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan teruja untuk menerima anugerah berprestij daripada Reader’s Digest buat kali ketiga.

“Perasaan ini sukar untuk digambarkan kerana setelah lebih 24 tahun berkecimpung dalam industri radio tanah air, rakyat Malaysia masih mengundi dan menyokong saya sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai.

“Terima kasih buat pihak penganjur, Majalah antarabangsa, Reader’s Digest dan juga buat keluarga, rakan rakan media, para peminat dari seluruh negara, juga tidak dilupakan keluarga besar Suria FM dan pihak pengurusan Star Media Group Berhad yang banyak berjasa kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai seorang Penyampai Radio,” katanya.

Menurut DJ Lin yang popular menerusi segmen Suria Cinta, beliau bersyukur dan menganggap pengiktirafan tersebut sebagai bukti dirinya masih relevan meskipun berdepan kedatangan muka baharu dalam industri penyiaran radio.

Ujarnya lagi, dengan pengiktirafan ini beliau akan terus berusaha untuk berikan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia khususnya buat pendengar setia Suria Cinta dan beliau mengucapkan ribuan terima kasih buat para pendengar yang sentiasa menyokong Suria FM.

Lebih menarik, anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai bagi tahun ini merupakan anugerah ke-13 buat DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM.

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke-25 mengiktiraf jenama yang dipercayai berdasarkan undian daripada 8,000 individu yang telah dipilih daripada 5 negara antaranya Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.
GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts