April 25, 2025

Kangen Band Rancang Nyanyi Negaraku

KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik dari seberang, Kangen Band melahirkan hasrat untuk menyampaikan lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku buat peminat di negara ini pada konsert mereka nanti.

Kumpulan itu bakal mengadakan konsert mereka, Live in Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan yang dijadualkan berlangsung pada 2 September depan di Zepp Kuala Lumpur.

Anggota Kangen Band yang juga gitaris, Dodhy berkata, mereka akan mengadakan perbincangan untuk memastikan semuanya mendapat keizinan dan mematuhi syarat.

“Kami menyimpan hasrat untuk mempersembahkan lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku di acara konsert kali ini.

“Namun, semuanya masih dalam perbincangan kerana kami perlu tahu sama ada dapat keizinan atau tidak. Sekiranya boleh, kami akan persembahkan,” katanya.

Selain itu, Kangen Band yang dianggotai Dodhy bersama Andika (vokalis), Tama (gitaris), Bebe (bassis) dan Izzy (pemain keyboard) turut meluahkan kesyukuran kerana sudah 50 peratus tiket konsert terjual sejak penjualannya minggu lalu.

“Alhamdulillah, ini satu penghormatan buat kami kerana diterima baik dan diberikan ruang untuk tampil membuat persembahan di sini.

“Bagi kami, Malaysia adalah negara jiran yang terhormat dan sangat berbesar hati apabila dapat hadir ke sini,” katanya.

Kangen Band berasal dari Indonesia popular menerusi lagu seperti Cinta Sampai Mati. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts