September 13, 2024

FT Janji Bekalkan Momen Manis

PETALING JAYA: Penyanyi prolifik Faizal Tahir berjanji akan memberikan bekalan berupa momen manis buat penonton konsert sulungnya September depan.

Dia bakal muncul dengan konsert solo pertamanya, ‘Aku Faizal Tahir: Live In Kuala Lumpur’ di Pusat Dagangan Dunia pada 2 September setelah hampir dua dekad berada dalam radar dunia seni.

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 45, berkata, konsert itu adalah sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya, selepas 17 tahun berada dalam industri.

“Lagipun, ketika saya mempromosikan lagu terutamanya di media sosial, terlalu banyak komen daripada peminat yang meminta saya untuk membuat konsert solo.

“Pihak pengurusan kumpulkan semua komen itu dan tunjukkan kepada saya,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, konsert itu bakal menampilkan beberapa segmen menarik dengan bingkisan jalan cerita sepanjang perjuangan sebagai anak seni.

Foto: Kasyah/Pocket TV News

“Konsert ini bukanlah bersifat hiburan semata-mata sebaliknya saya mahu menyampaikan sesuatu yang baik dan positif tentang kehidupan, terutamanya pengalaman sendiri dalam menempuh cabaran dalam industri.

“Saya nak orang pulang dengan rasa mendapat sesuatu yang bermanfaat untuk diri masing-masing dan bukan hanya sekadar untuk berhibur,” katanya.

Lebih istimewa, dalam konsert itu, naib juara musim pertama rancangan realiti One in a Million itu juga akan merakamkan semula lagu popularnya, Sampai Syurga, sebagai tanda terima kasih kepada semua pihak yang mendukung perjalanan kariernya selama ini.

“Saya juga akan mempersembahkan 23 lagu termasuk lagu-lagu medley daripada lima album seperti Mahakarya Cinta, Bencinta, Assalamualaikum dan Ragaman,” katanya yang berjanji akan memberikan persembahan terbaik.

Peminat boleh mendapatkan tiket dengan harga RM488, RM588 dan RM688 di laman sesawang di www.jiotix.asia atau hubungi talian hotline di 01151003111 (Whatsapp sahaja). – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts