September 27, 2023

Suami Yang Menangis Di TV AlHijrah

KUALA LUMPUR: Stesen TV AlHijrah membawakan filem dari seberang, Suami Yang Menangis sebagai satu dari siaran menarik sempena kempen Hari Raya Haji tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif stesen itu, Namanzee Harris berkata pemilihan filem berkenaan sejajar dengan syarat patuh syariah yang diterapkan selari dengan garis panduan TV AlHijrah.

“Filem ini mengisahkan mengenai seorang suami yang bertaubat dan bersesuai dengan patuh syariah stesen sempena sambutan Aidiladha kali ini,” katanya dalam majlis sidang media Aidiladha Jemputan Haji baru-baru ini.

Dengan slogan Jemputan Haji pada tahun ini, Namanzee berkata TV AlHijrah meneruskan agenda dakwahnya melalui beberapa program dirangka khas untuk mencetuskan rasa syukur jemaah atas takdir terpilih ke tanah suci.

Namanzee berkata, lebih dari itu stesen berkenaan turut mengatur program menarik yang lain seperti Program Cinta Ilmu Aidiladha melalui tiga segmen Islam, Iman dan Ihsan yang akan ke udara pada Isnin hingga Rabu, pukul 7.30 malam.

Tambahnya, program bual bicara Labbaikallah bersiaran setiap hari bermula 18 Jun hingga 2 Julai ini pada pukul 9 malam, pula dikekalkan bagi mengundang nostalgia agar dapat mengubat rindu terhadap Baitullah serta mengimbau detik indah ketika melakukan persediaan awal hinggalah Hari Tasyrik.

“Manakala Peristiwa Haji yang bakal disiarkan pada malam raya pukul 10.30 malam pula bertujuan mengajak penonton mengimbas kembali peristiwa-peristiwa di sebalik ibadah haji, atas permintaan,” katanya.

Program Munajat Arafah berdurasi dua jam yang akan disiarkan pada 28 Jun, pukul 12.30 tengah hari hingga 7.00 malam pula akan membawa penonton bermunajat kepada Allah dan memperingati kelebihan Hari Arafah.

Program-program menarik lain yang turut disusun khas adalah seperti Hijrah Berselawat Istimewa Aidiladha, Gema Haflah Istimewa Aidiladha, Program Barakah, program Rehlah Ibrahim, Sembang Haji dan Seikhlas Hati.

Rancangan-rancangan menarik Kempen Haji 1444H di TV AlHijrah turut boleh dinikmati menerusi aplikasi peranti pintar stesen ini, AlHijrah Plus dengan lebih 6,000 program ilmu pendidikan serta hiburan berlandaskan Islam yang dapat ditonton bila-bila masa dan di mana sahaja. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts