PETALING JAYA: Meskipun bukan kali pertama bertentang mata dengan peminatnya di Malaysia, Datuk Seri Rossa seperti selalu jelas menterjemahkan rasa terujanya.
Sebaik naik ke pentas, Rossa kekal dengan kuntuman senyum mekar dan mengucap terima kasih buat peminat yang membanjiri ruang pentas pusat beli belah The Curve di sini.
“Apa khabar semuanya? Terima kasih kerana sudi hadir hari ini bersama-sama saya,” katanya tanpa putus melambai tangan dan melempar senyuman.
Malah, sosok genit ini turut terharu apabila hampir kesemua lagunya mampu disambut khalayak penonton yang menyambut nyanyian pelantun lagu Tegar itu.
Rossa juga kagum, apabila ramai yang sudah tahu single terbaharunya Lupakan Cinta dan tanpa kekok menyanyi bersamanya.
Tidak hairanlah, meski masih baru sekitar November lalu hadir di ibu kota dengan konsert sempena 25 tahun, beliau kembali
menerusi konsert Another Journey: The Beginning yang bakal dilangsungkan pada 13 dan 14 Julai tahun ini.
Rossa akui masih ada yang terbuku dan belum diluahkan saat konsert lalu.
Malah, tiket konsert yang bakal berlangsung ini habis terjual dalam masa 24 jam oleh para peminatnya yang digelar sebagai Pecinta Rossa.
Konsert ini merupakan siri persembahan ketiga anjuran Dream Festival Collaboration.
Bagi Rossa, konsert itu istimewa kerana membawa menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya dan memperkenalkan lagu terbaru daripada album yang dilancarkan Februari lalu.
“Album ini merangkumkan pelbagai emosi dan turun naik saya sebagai manusia sepanjang dunia berdepan Covid-19. Jika ingin tahu apa yang saya lalui sepanjang dua tahun yang menguji itu, datanglah ke konsert nanti,” katanya.
Selain itu, konsert ini bakal menampilkan penyanyi muda, Rizky Febian pada hari pertama dan Mahalini Raharja untuk hari kedua, selain turut memperkenalkan bakat baharu, Zareef Sein.
Mahalini turut memberikan sentuhannya menerusi lagu ‘Lupakan Cinta’ dalam album buat konsert ini. Mahalini antara komposer serta penyanyi muda yang berbakat luar biasa.
Another Journey: The Beginning bakal berlangsung pada 13 dan 14 Julai hadapan di Zepp Kuala Lumpur dengan harga RM178 sehingga RM8,888 (Royal Box) yang boleh didapati menerusi ticket2u.com.my – GayahIsTyping