KUALA LUMPUR: Mengetengahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjaga keselamatan perairan negara, filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang sentuhan Allahyarham Pitt Hanif sarat dengan aksi mendebarkan yang pastinya menyentuh emosi untuk menarik penonton ke pawagam.
Filem genre aksi unit beruniform terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Maritim Malaysia itu menampilkan gandingan hebat dua aktor dan aktres popular tanah air iaitu Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.
Ia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlee, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.
Penerbitnya, Muhammad Hady Yusry Makmor berkata, perancangan menerbitkan filem yang membabitkan kos sebanyak RM13 juta itu bermula sekitar 2017.
“Saya bersama Penerbit Eksekutif, Flying Deals Sdn Bhd, Rozita Mat Isa dan Jason Chong selaku penulis skrip mengemukakan kertas idea kepada Maritim Malaysia untuk menerbitkan filem. Kemudiannya, skrip dihasilkan dengan bantuan dan nasihat Maritim Malaysia melalui beberapa siri perbincangan dan penambahbaikan.
“Selepas mendapat kelulusan dan mendapat dana untuk projek filem kenegaraan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), kami mula mencari rakan penerbit untuk memulakan penggambaran. Akhirnya, kami bertemu dengan penerbit, Arie Zaharie dari Arie Zaharie Production yang berminat untuk bekerjasama menerbitkan filem ini.
“Filem ini mula diarahkan pengarah Hashim Rejab dengan dibantu Allahyarham Pitt ketika itu. Bagaimanapun, Hashim terpaksa menarik diri kerana ada komitmen lain dan arwah Pitt mengambil alih mengarahkan filem sepenuhnya sehingga penggambaran selesai.
“Penggambaran filem mengambil masa selama 55 hari, membabitkan lokasi penggambaran sebanyak 65 peratus di kawasan laut dan pulau di sekitar Pulau Langkawi, Kedah. Selebihnya di Kuantan dan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang,” katanya.
Mengulas penggambaran filem, kata Muhammad Hady Yusry, lebih seratus barisan pelakon dan kru termasuk pegawai khas dari Maritim Malaysia terbabit dalam penggambaran filem ini.
“Naskhah ini membabitkan kos tinggi kerana penggunaan aset ketenteraan iaitu tiga kapal besar, empat helikopter, 10 bot laju dan kelengkapan senjata api dan ‘machine gun’.
“Bagi menghidupkan babak, kami membina perkampungan lanun yang terpaksa diletupkan pada penghujung cerita dengan membabitkan kos RM400,000.
“Barisan pelakon seperti Saharul Ridzwan dan Julia Farhana juga menjalani sesi latihan ketat di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) selama sebulan membabitkan aspek protokol, penggunaan senjata api, perlawanan dan sebagainya lagi,” katanya.
Ditanya sasaran kutipan filem, kata Muhammad Hady Yusry, hasil tinjauan dan maklum balas daripada pelbagai pihak dan pawagam, filem ini berpotensi mendapat sambutan hebat seperti filem Paskal dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.
“Saya juga mensasarkan filem ini akan mencecah kutipan sebanyak RM20 juta di pawagam nanti,” katanya.
Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang edaran Metrowealth International Group dan disokong FINAS, Primeworks Studios dan Media Prima Berhad. Tajaan membabitkan MyDebit, Peynet dan Starbucks.
Ia bakal ditayangkan di semua pawagam seluruh negara bermula 2 Februari ini, termasuk tayangan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam. – GayahIsTyping
You may also like
-
Ibu Scha Al-Yahya Meninggal Dunia – Awal Kongsi Kehilangan Ibu Mentua di IG Story
-
Festival of Drums and Percussion Malaysia 2024 – Pentas Pemuzik Terbaik Negara
-
Wawa Belanja 100,000 Unit Sunscreen Kanak-Kanak – Lancar Sempena Hari Lahir Anak
-
Janji Hadiah 25 Tahun Dayang Nurfaizah – Turut Dedikasi Buat Iman Imran
-
Jangan Pandang Belakang 2 – Jin Tak Perlu Jaga Manusia