PUTRAJAYA : Esok bakal menyaksikan bermulanya edisi baharu Gegar Vaganza yang memasuki musim ketujuh dan pastinya tiga otai menjadi fokus utama.
Ratu Pop Etnik Noraniza Idris dan dua rockers Mus serta Yantzen antara lagenda yang mencuri perhatian peminat industri muzik apabila nama mereka berada dalam senarai pertarungan GV7.
Bakal membawakan lagu hits masing-masing, mungkin ia bukan masalah besar bagi majoriti mereka kerana sudah bertahun menyanyikan lagu berkenaan.
Memetik kata juri profesional Datuk Ramli MS, cabaran sebenarnya ialah pada minggu kedua apabila mereka diberikan tugas membawakan lagu penyanyi lain.
Bayangkan Noraniza yang lebih mesra disapa Kak Ani menyahut cabaran lagu dendangan Ernie Zakri atau Aina Abdul.
Mus atau Yantzen mendendangkan lagu Naim Daniel atau Syamel.
Nanti, betulkan senyum sinis anda kerana mereka bukan calang-calang penyanyi, sudah memiliki beratus repertoir dalam bidang muzik.
Ayu dan Linda Nanuwil juga antara yang dilihat mampu memberikan warna menarik dengan kredibiliti vokal miliknya.
Beberapa nama seperti Ashiera, Rozita Izlyn, Cliff Umar juga antara yang punyai karisma tersendiri.
Nomad, Aju, Oja, Haslinda dan dua kumpulan Indigo serta Eva juga pastinya melengkapkan lagi persaingan musim kali ini dengan 14 peserta iaitu teramai sepanjang penganjuran.
Gayah pilih siapa? Kita tunggu konsert pertama. Jujurnya setakat hari ini, Kak Ani pastinya figura paling dinantikan ramai. Gayah dah standby step Dikir Puteri.
GV7 masih dibawakan oleh Farm Fresh serta program signatur Astro yang paling dinantikan.