December 1, 2022

Alhamdulillah Syukur – Bob Yusof

SHAH ALAM: Selepas beberapa minggu berjuang dan menampilkan persembahan cemerlang, Bob Yusof layak tersenyum lebar apabila diangkat berada di tempat pertama pada konsert mingguan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada Ahad lalu.

Bob membawakan lagu Kasih mengakui teruja apabila namanya diumumkan sebagai peserta pertama sekaligus pemungut markah tertinggi mingguan buat pertama kali.

“Alhamdulillah syukur minggu ketujuh berlalu dgn baik. Mendapat Bintang Paling Memukau dan Juara Next Level.

“Terima kasih kpd semua peminat yang meluangkan masa dgn mengundi saya. Terima kasih kepada semua team Bob Yusof yg sentiasa ada di belakang saya. Terus semangat,” katanya.

Penanyi yang mempunyai kredibiliti vokal tersendiri itu mengakui, dia sentiasa mengambil serius pada persembahan setiap minggu tanpa terlalu memikirkan kedudukan sebaliknya mahu memastikan dapat menyempurnakan tugas yang diberi.

“Saya tidak pernah ambil mudah dan bagi saya setiap minggu adalah persembahan paling penting sejak minggu pertama.

“Saya juga akan tonton semula persembahan saya dan ambil nota yang juri katakan untuk saya perbaiki. Saya juga akan tanya orang sekeliling,” katanya yang sering berada dalam kedudukan lima teratas setiap minggu.

Pemilik nama sebenar Yusrizan Usop, 41, berkata dia tidak pernah memandang mana-mana peserta sebelah mata pada persaingan GV9 kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu melakukan magik pada tiga minit persembahan mereka setiap minggu.

“Tidak sama sekali kerana mereka semua hebat. Kedudukan juga akan berubah-ubah setiap minggu kerana peserta akan berikan yang terbaik,” katanya.

Bergelar seorang guru vokal juga bukan jaminan buat pelantun lagu Cinta Seorang Teman ini kerana dalam pertandingan, setiap peserta perlu memberikan yang terbaik dengan skil yang dimiliki.

Foto: AZRUL RAFIE / Astro

Bagi Bob, kelebihan pada dirinya bukan alasan untuk dia bersenang hati tanpa latihan serta tumpuan serta kreativiti dalam persembahan.

“Saya juga ada pasukan dan penasihat vokal saya supaya saya tahu apa yang perlu diperbaiki,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts