November 13, 2024

Graduasi Industri Hiburan Aina Abdul

KUALA LUMPUR: Seminggu sudah berlalu konsert A Night With Aina Abdul 2.0 (ANWAA 2.0) di Istana Budaya, namun momennya masih berbekas di hati.

Bagi bintang muda dalam ciptaan ini, konsert berkenaan begitu bermakna kerana ia satu justifikasi keberadaannya dalam industri muzik negara.

Aina sendiri mengakui ANWAA 2.0 menjadi hari graduasi bagi dirinya selaku seorang dari penghuni industri hiburan tempatan selepas berjuang selama ini.

“Aina anggap konsert ini sebagai hari graduasi Aina dalam industri lebih-lebih lagi dengan kehadiran dan sokongan penyanyi lebih senior yang menonton,” katanya ketika persembahan malam pertama konsert berkenaan.

Penyanyi dan komposer berbakat besar ini menumpahkan seratus peratus komitmennya pada konsert berkenaan dan ia jelas menerusi apa yang dipersembahkan.

Aina secara peribadi, cemerlang dengan persembahannya mengalunkan lebih 20 lagu pada malam konsert itu.

Dia juga membuktikan bilangan jumlah lagu sendiri yang diterbitkan bukan ukuran untuk mengadakan konsert.

Pada sidang media selepas konsert, Aina mengakui teruja dengan konsert berkenaan dan memberitahu bakal tampil dengan lebih banyak siri persembahan termasuk jelalah negeri.

Bercerita lanjut, dia turut melahirkan rasa terharu dengan sokongan penyanyi senior seperti Ziana Zain yang mahu membayar tiket ketika diundang.

“Kak Ziana sangat menyokong dan sanggup untuk bayar tiket ketika kamu undang. Saya sangat hormat pada dia dan akan selalu ingat pesanannya,”katanya.

Dalam pada itu, Aina turut seronok berkongsi mengenai kesungguhan pasukannya termasuk dalam merealisasikan baju yang disarungkan.

“Seperti baju pertama yang sarungkan diperbuat dari 150 set rambut sebenar ciptaan Melinda Looi.

“Saya memang mahukan kelainan dan mereka realisasikan pada malam konsert. Begitu juga persalinan yang lain. Saya mahu nampak cantik,” katanya.

Aina turut berkongsi dia yakin melangkah ke pentas konsert selepas mendapat restu netizen nombor satu iaitu ibunya sendiri.

“Saya sudah bawa mak tengok persembahan dan pakaian saya serta dia restu. Bila mak restu saya lega dan itu yang paling penting buat saya.

“Tadi sebelum keluar saya dalam dan cium tangan mak saya tak bagi dia balik dan minta tunggu saya di hotel,” katanya.

ANWAA 2.0 satu resume hebat seorang anak seni bernama Aina Abdul. Siapa kata Malaysia kekurangan bakat setanding negara luar? – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts