December 1, 2022

Histeria Buat Bulu Roma Ziana Zain Naik

KUALA LUMPUR: Siri terbaharu Astro Originals, Histeria The Series terus menarik perhatian penonton terutama pengikut dari naskhah asal filem Histeria yang ditayangkan lebih sedekad lalu. 

Selain itu, tidak dinafikan terdapat faktor lain yang membuatkan siri adaptasi dari filem berkenaan menarik perhatian termasuk penampilan pelakon Ziana Zain.

Ziana ketika ditemui mengakui teruja diberikan peluang menggalas watak yang juga kali pertama dilakonkan iaitu pengetua sekolah.

“Saya perlu bersama dengan mereka yang muda supaya saya terus relevan. Tanaga dan aura mereka sangat menarik. 

“Ini juga peluang menarik kerana saya membawakan watak seorang pengetua dengan cabaran berdepan kisah misteri,” katanya.

Bercerita lanjut, heroin Maria Mariana itu mengakui turut berdepan dengan situasi menyeramkan ketika penggambaran.

Malah, akuinya dia turut meracau ketika sedang tidur pada peringkat awal penggambaran drama yang berlangsung di sebuah sekolah tinggal di Negeri Sembilan.

“Saya tidak nafikan memang ada rasa seram. Contohnya setiap kali berada di sesetengah koridor bangunan sekolah berkenaan. 

“Tapi bagi saya kita bekerja dan saya tak lepas dari baca doa yang patut,” kongsinya.

Pelantun lagu Kemelut Di Muara Kasih itu berkata, situasi itu bagaimanapun semakin berkurangan selepas beberapa hari penggambaran.

Demi mengekalkan magis jalan cerita yang penuh mendebarkan, siri tersebut terus meminjam sentuhan pengarah asal filem berkenaan, James Lee.

Naskhah terbitan Astro Shaw dan produksi Infinitus Gold tersebut menyaksikan jenama Astro Originals meletakkan kepercayaan kepada barisan pelakon muda berbakat besar sebagai bintang utama.

Namron antara nama besar yang turut berlakon dalam siri ini.

Mereka terdiri daripada Mia Sara Afdlin Shauki sebagai Alia, Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid Al-Yahya (Diana), Amelia Christie (Puteri) dan Serra Kamal (Zee).

Selain wajah baharu, Histeria The Series turut menampilkan kemunculan watak asal dalam filem Histeria iaitu Murni lakonan Liyana Jasmay.

Histeria The Series bersiaran menerusi Astro Citra, saluran 108 setiap Isnin pukul 9 malam ataupun boleh distrim menerusi platform Astro GO dan On Demand. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts